Bintang komedi AS Bob Saget meninggal dunia 


Bintang sitkom Full House Bob Saget meninggal dunia pada usia 65 tahun.– Gambar EPA, 10 Januari, 2022. 

PELAWAK Amerika Syarikat Bob Saget, yang membintangtangi siri televisyen “Full House” pada 1980-an dan 1990-an, meninggal dunia pada usia 65 tahun, kata keluarganya.

“Kami sangat sedih untuk mengesahkan bahawa Bob kesayangan kami meninggal dunia hari ini,” kata keluarga Saget dalam satu kenyataan yang diterbitkan oleh majalah People.

“Dia adalah segala-galanya bagi kami dan kami mahu anda tahu betapa dia menyayangi peminatnya, membuat persembahan secara langsung dan membawa orang ramai dari semua lapisan masyarakat bersama-sama bergelak ketawa.”

Saget, yang sering diberi gelaran sebagai “bapa Amerika” dan salah satu wajah paling popular di televisyen AS pada 1990-an, ditemui mati di bilik hotel Florida pada Ahad, kata pejabat Syerif Orange County.

Bagaimana pun punca kematiannya masih tidak jelas.

Menurut detektif tiada sebarang tanda perbuatan jenayah atau dadah apabila mereka dipanggil ke Ritz-Carlton Orlando, Grande Lakes, di mana Saget ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri, menurut polis.

Saget dalam siri jelajah negaranya dan telah membuat persembahan di Jacksonville pada malam sebelum mayatnya ditemui. 

Dalam sitkom popular itu, mendiang memegang watak sebagai Danny Tanner, seorang bapa tunggal yang memiliki tiga anak gadis dan berusha membesarkan mereka dengan bantuan adik iparnya Jesse dan rakannya Joey. 

“Saya hancur. Saya kecewa. Saya benar-benar terkejut. Saya tidak akan pernah mempunyai kawan lain seperti dia. Saya sangat menyayangi awak Bobby,” kata pelakon John Stamos, yang memegang watak Jesse menerusi Twitter.

Candace Cameron Bure, yang memainkan watak anak perempuan sulung Saget dalam rancangan itu, menerusi Twitter berkata: “Saya kelu. Bob adalah antara manusia terbaik yang pernah saya kenali dalam hidup saya. Saya sangat menyayanginya.” – AFP, 10 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen