PEMAIN tenis nombor satu dunia Novak Djokovic menang dalam kes visa terhadap kerajaan Australia, sekaligus menamatkan penahanan beliau.
Djokovic sebelujm ini ditahan pihak berkuasa imigresen Australia kerana gagal menunjukkan sijil vaksinasi Covid-19 walaupun dikecualikan kerana isu kesihatan.
Ia merupakan satu tamparan yang luar biasa bagi kerajaan Australia, yang mengenakan syarat ketat ke atas pelancong asing yang tiba ke negara itu sejak dua tahun lalu.
Tetapi peguam kerajaan Australia memberitahu mahkamah bahawa Menteri Imigresen Alex Hawke mungkin masih memutuskan untuk menggunakan kuasa pembatalan peribadi walaupun pemain itu menang kes mahkamah.
Djokovic yang berusia 34 tahun tiba di Melbourne minggu lalu menjelang kejohanan Terbuka Australia, yang akan bermula dalam masa seminggu sahaja, dengan harapan untuk memenangi gelaran Grand Slam ke-21.
Namun, pegawai di Lapangan Terbang Tullamarine Melbourne memutuskan bintang yang tidak divaksin itu gagal mengemukakan alasan perubatan yang kukuh untuk tidak divaksin.
Visa Djokovic telah dibatalkan dan beliau dipindahkan ke pusat tahanan imigresen sementara menunggu pengusiran.
Dalam perbicaraan secara dalam talian pada Isnin, hakim berkata pihak kerajaan telah bersetuju untuk menggugurkan keputusan visanya dan beliau mengarahkan Djokovic dibebaskan serta merta.
“Pelepasan mesti dibuat selewat-lewatnya 30 minit selepas arahan ini diberikan,” katanya. – AFP, 10 Januari, 2022.
Komen