Pemuda PKR desak Azam Baki letak jawatan


Alfian Z.M. Tahir

Anggota Pemuda PKR berkumpul di depan ibu pejabat SPRM di Putrajaya hari ini. – Gambar Facebook, 10 Januari, 2022.

AHLI Pemuda PKR hari ini berkumpul di depan ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendesak ketua pesuruhjayanya Azam Baki meletakkan jawatan.

Kira-kira 50 anggota sayap Pemuda diketuai Ahli Parlimen Johor Bahru Akmal Nasir menaiki lebih 20 kenderaan konvoi dari Dataran Putra di Putrajaya ke ibu pejabat antirasuah yang terletak kira-kira 3km jauhnya.

Selain menuntut Azam meletak jawatan, kumpulan itu juga mahu SPRM diletakkan di bawah pengawasan Parlimen, dan siasatan bebas dijalankan.

Mereka turut membawa bersama plakad sebelum menyerahkan memorandum kepada wakil SPRM.

“Daripada berada di bawah perdana menteri, SPRM mesti berada di bawah Parlimen dan adanya keperluan untuk memanggil sidang Parlimen khas bagi membincangkan integriti agensi pencegahan rasuah,” kata Akmal yang merupakan ketua Pemuda PKR.

Azam baru-baru ini menimbulkan kontroversi selepas memberitahu media beliau membenarkan adiknya Nasir membeli saham daripada dua syarikat menggunakan akaun dagangnya.

Ketua SPRM itu berkata, saham kemudian dipindahkan semula kepada Nasir.

Perkara mengenai pegangan saham Azam dibangkitkan di Parlimen pada 14 Disember oleh Ahli Parlimen Sungai Buloh R. Sivarasa, yang bertanya sama ada Azam sudah mengisytiharkan dakwaan pemilikan 2.15 juta dalam Excel Force MSC Bhd dan 1.93 juta saham dalam Gets Global Bhd pada 2015, dan 1.02 juta saham dalam Gets Global Bhd pada tahun berikutnya.

Azam juga berkata beliau sudah memaklumkan kepada pihak atasan pada 2015 mengenai pembelian saham oleh adiknya dan mereka tidak membangkitkan sebarang kebimbangan.

Awal hari ini Ahli Parlimen DAP Lim Kit Siang menggesa perdana menteri agar Kabinetnya bertindak berhubung dakwaan terhadap Azam.

Lim berkata jika Azam tidak bersedia untuk membersihkan namanya di depan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSCC) mengenai Agensi di Jabatan Perdana Menteri, maka Isma Sabri Yaakob perlu memastikan Kabinetnya memutuskan untuk menamatkan jawatan Azam.

Lim bukanlah ahli Parlimen pembangkang pertama yang meminta kerajaan bertindak terhadap Azam.

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim dan beberapa ahli Parlimen lain daripada PKR turut menuntut Azam meletak jawatan dan menggesa siasatan bebas dijalankan.

Bagaimanapun, beberapa menteri menyokong Azam yang mendapat banyak perhatian sejak seminggu lalu.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli Takiyuddin Hassan berkata Azam melakukan tindakan sewajarnya untuk membersihkan namanya manakala Menteri Undang-undang Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata tiada undang-undang atau peraturan melarang penjawat awam memiliki saham dalam syarikat tersenarai awam. – 10 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen