AUNG San Suu Kyi hari ini disabitkan bersalah tiga pertuduhan jenayah di mahkamah junta, dan dijatuhi hukuman penjara empat tahun di penjara.
Penerima anugerah Nobel itu ditahan sejak 1 Februari selepas kerajaannya digulingkan dalam satu rampasan kuasa awal pagi, mengakhiri pentadbiran demokrasi kali pertama di Myanmar yang baru bermula.
Kuasa tentera mencetuskan ketegangan di seluruh negara dengan pasukan keselamatan melakukan penahanan beramai-ramai dan kekerasan terhadap penunjuk perasaan dengan lebih 1,400 orang awam terbunuh setakat ini, kata kumpulan pemantau tempatan.
Sumber berkata Suu Kyi, 76, didapati bersalah atas dua pertuduhan berkaitan mengimport secara haram dan memiliki walkie talkie serta melanggar peraturan koronavirus.
Pertuduhan berkaitan walkie-talkie itu ketika tentera menyerbu rumahnya pada hari rampasan kuasa, menemui peralatan barang seludup itu.
Keputusan mahkamah hari ini sepatutnya dibuat pada Disember ketika beliau dijatuhkan hukuman penjara empat tahun atas kesalahan menghasut dan melanggar peraturan Covid-19 ketika berkempen.
Ketua junta Min Aung Hlaing memendekkan hukuman itu kepada dua tahun dan berkata beliau boleh menjalani hukuman secara tahanan rumah di Naypyidaw.
Sebelum keputusan hari ini disampaikan, penyelidik Human Rights Watch Manny Maung berkata tambahan sabitan akan menambah lagi ketegangan di negara itu.
Media tidak dibenarkan mendengar perbicaraan dan peguam Suu Kyi dilarang bercakap kepada wartawan.
Di bawah rejim junta sebelum ini, Suu Kyi dikenakan tahanan rumah di rumah agam keluarganya di Yangon.
Hari ini, beliau dikurung di sebuah lokasi yang tidak didedahkan di ibu kota sementara hubungannya dengan dunia luar hanya terhad kepada mesyuarat ringkas sebelum perbicaraan dengan peguamnya.
Selain kes hari ini, beliau berdepan beberapa pertuduhan rasuah – setiap satu boleh membawa hukuman penjara 15 tahun.
Pada November, beliau dan 15 pemimpin kanan lain termasuk presiden Win Myint, turut didakwa melakukan penipuan pilihan raya 2020.
Sejak rampasan kuasa itu, ramai sekutu politiknya ditahan, dengan seorang ketua menteri dijatuhi hukuman penjara 75 tahun, sementara ramai yang lain melarikan diri. – AFP, 10 Januari, 2022.
Komen