LEBIH 160 orang dilaporkan maut manakala hampir 6,000 lagi ditahan susulan rusuhan ganas di Kazakhstan minggu lalu, kata pihak berkuasa.
Negara dengan 19 juta penduduk dan kaya dengan sumber tenaga itu bergolak selama seminggu, yang tercetus akibat kenaikan harga bahan api sehingga menjadi rusuhan besar yang merebak ke seluruh negara.
Menurut portal rasmi kerajaan semalam, seramai 164 orang terbunuh termasuk 103 di Almaty, bandar terbesar di mana berlaku beberapa pertempuran ganas antara penunjuk perasaan dengan anggota keselamatan.
Pihak berkuasa dalam satu kenyataan sebelum ini memaklumkan seramai 26 penunjuk perasaan dan 16 anggota keselamatan maut.
Kenyataan itu bagaimanapun dipadam dari akaun Telegram kerajaan. Kementerian Kesihatan kemudian memberitahu media Rusia dan Kazakhstan maklumat tersebut silap.
Jabatan Presiden Kazakhstan dalam kenyataan semalam berkata secara keseluruhannya seramai 5,800 individu ditahan untuk disoal siasat, termasuk ‘sejumlah besar warga asing’.
“Situasi di seluruh negara kini terkawal walaupun pasukan keselamatan masih meneruskan operasi ‘pembersihan’,” tambah kenyataan itu, yang dikeluarkan selepas Presiden Kazakhstan Kassym-Jomart Tokayev mengadakan mesyuarat tergempar.
Ketegangan ekoran kenaikan harga minyak tercetus di wilayah barat Kazakhstan sejak seminggu lalu, kemudian tersebar dengan pantas ke beberapa bandar besar termasuk hab ekonomi Almaty. Pertempuran ganas menyebabkan polis terpaksa melepaskan tembakan peluru hidup.
Laporan media tempatan memetik Kementerian Dalam Negeri semalam menyebut, kerosakan akibat rusuhan dianggarkan bernilai 175 juta euro (AS$199 juta). Lebih 100 perniagaan serta bank diserang atau dirompak, manakala lebih 400 kenderaan musnah. – AFP, 10 Januari, 2022.
Komen