Syed Saddiq jangan salahkan polis, kata exco Johor


PRESIDEN Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidak boleh menyalahkan pihak polis jika anggota partinya tidak mematuhi prosedur operasi satandard (SOP) yang ditetapkan semasa membantu mangsa banjir, kata seorang exco Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan Johor Onn Hafiz Ghazi berkata polis hanya menjalankan tugas mereka iaitu menyoal siasat apabila sesuatu laporan dibuat.

“Semalam, saya telah mendengar kenyataan media YB Syed Saddiq, ahli Parlimen Muar melalui akaun Facebook beliau.

“Tiada sesiapa yang mengatasi undang-undang termasuk Syed Saddiq dan parti Muda. Saya sarankan supaya YB Syed Saddiq yang baru sahaja turun ke Johor semalam supaya berhenti mengkambinghitamkan pihak PDRM (Polis Diraja Malaysia).

“Saya yakin pihak PDRM tidak berniat untuk melayan mana-mana sukarelawan sebagai penjenayah. Ribuan sukarelawan yang sudah berkhidmat di Johor ini tidak menghadapi masalah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Syed Saddiq menerusi Facebook semalam berkata enam sukarelawan telah dipanggil ke balai polis daerah Segamat semalam, berhubung dakwaan melanggar SOP semasa menyampaikan bantuan di pusat perlindungan sementara (PPS) di Johor.

“Punca mereka disoal siasat kerana telah menyampaikan bantuan terus kepada individu yang meminta bantuan di PPS dan beberapa rumah.

“Mereka tidak menyampaikan bantuan ke lokasi yang ditetapkan. Bagi pihak pimpinan Muda, saya ingin memohon maaf kerana niat kami tidak menimbulkan sebarang kesulitan,” kata Syed Saddiq menerusi Facebook Live semalam.

Beliau juga berharap sukarelawan berkenaan tidak dilayan seperti penjenayah.

“Janganlah dilayan sukarelawan macam penjenayah sampai nak panggil, disiasat polis hanya kerana mereka sampaikan bantuan terus kepada mangsa.”

Sementara itu, Ketua Muda Johor Mohd Azrol Ab Rahani antara yang disoal siasat berkata, mereka didakwa tidak memohon kebenaran daripada pegawai daerah Segamatbagi menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir.

“Selepas sampaikan bantuan di sebuah sekolah di Segamat, esoknya kami dimaklumkan beberapa laporan polis dibuat terhadap kami,” kata Azrol.

Segamat daerah terawal di Johor yang dilanda banjir tahun ini dengan hampir 2,000 penduduk dipindahkan dari kediaman masing-masing.

Terdapat 30 pusat pemindahan sementara di daerah itu, yang menempatkan 1,771 mangsa banjir daripada 452 keluarga. Sebanyak 29 kampung dan tiga kawasan perumahan terjejas, dengan angka mangsa dijangka meningkat. – 9 Januari, 2022. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen