PERTUBUHAN Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendapati beribu-ribu senjata dirampas di Laut Arab berkemungkinan dibawa dari satu pelabuhan di Iran sekali gus menjadi bukti Tehran mengeksport senjata ke Yaman dan beberapa tempat lain.
The Wall Street Journal memetik laporan sulit panel pakar Majlis Keselamatan PBB mengenai Yaman, melaporkan bot dan pengangkutan darat digunakan untuk menyeludup senjata buatan Rusia, China dan Iran ke Yaman.
Senjata itu termasuk pelancar roket, mesingan dan senapang penembak tepat yang dirampas Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) beberapa bulan lalu.
Menurut laporan PBB, bot digunakan untuk mengangkut senjata dari pelabuhan Jask di tenggara Iran, berdasarkan temu bual dengan kru bot dan data navigasi kapal.
Sementara itu, timbalan menteri penerangan kumpulan pemberontak Yaman menafikan Iran menyeludup senjata ke negara itu manakala Tehran berkata, senjata itu tidak dijual atau dibawa ke negara bertelagah itu.
AS serta Arab Saudi yang mengetuai pakatan tentera menyokong kerajaan Yaman sebelum ini menuduh Iran membekalkan senjata kepada Houthi, tetapi dinafikan Tehran.
Yaman dilanda perang saudara sejak 2014 manakala pemberontak Houthi yang disokong Iran menentang kerajaan diiktiraf antarabangsa, mendorong PBB mengenakan sekatan senjata ke atas Houthi pada 2015.
Beberapa bulan kebelakangan ini, pertempuran di Yaman menyaksikan tentera pakatan diketuai Arab Saudi melakukan serangan udara ke atas ibu kota yang dikuasai pemberontak Sanaa.
Riyadh menegaskan campur tangan di Yaman sejak 2015 bertujuan menghalang sekutu Iran mengancam kedaulatan Arab Saudi. – AFP, 9 Januari, 2022.
Komen