Polis siasat sukarelawan Muda bantu mangsa banjir langgar SOP


Elill Easwaran

Terdapat 30 pusat pemindahan sementara di Segamat yang menempatkan 1,771 mangsa banjir daripada 452 keluarga. – Gambar Facebook, 9 Januari, 2022.

ENAM sukarelawan daripada Muda Johor dipanggil untuk soal siasat berhubung pelanggaran peraturan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 ketika membantu mangsa banjir di Johor, kata Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

“Sukarelawan berkenaan menghantar makanan kepada mangsa banjir tanpa kebenaran pegawai daerah, itu sebabnya mereka disiasat,” kata presiden Muda itu menerusi Facebook Live.

Ahli Parlimen Muar itu berkata pihak berkuasa tidak sepatutnya melayan sukarelawan seperti penjenayah.

“Saya minta maaf atas kesilapan ini dan turut berharap pihak berkuasa dapat melonggarkan peraturan untuk mereka yang mahu memberikan bantuan,” katanya.

Pengerusi Muda Johor Mohd Azrol Ab Rahani berkata mereka didakwa melanggar SOP kerana tidak mendapat kebenaran daripada pegawai daerah Segamat.

“Selepas kami keluar dari sebuah sekolah di Segamat, keesokan harinya kami diberitahu beberapa laporan polis dibuat terhadap kami,” kata Azrol.

Segamat adalah daerah terawal di Johor yang dilanda banjir tahun ini dengan hampir 2,000 penduduk dipindahkan dari rumah masing-masing.

Terdapat 30 pusat pemindahan sementara di daerah itu menempatkan 1,771 mangsa banjir daripada 452 keluarga. Sebanyak 29 kampung dan tiga kawasan perumahan terjejas, dengan angka mangsa dijangka meningkat. – 9 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen