Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mesti bebas siasat Azam, kata Kit Siang


Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang berkata Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi Agensi-Agensi berada di bawah kuasa Jabatan Perdana Menteri, yang membataskan ia bertindak secara telus dan tanpa berat sebelah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Januari, 2022.

JAWATANKUASA Pilihan Khas Parlimen bagi Agensi-Agensi haruslah melaksanakan tugasnya secara bebas menyiasat isu pemilikan saham membabitkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki, kata Lim Kit Siang.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri berkata ini kerana jawatankuasa itu berada di bawah kuasa Jabatan Perdana Menteri, yang membataskan ia bertindak secara telus dan tanpa berat sebelah.

Tambahnya, apa yang membimbangkan ialah jawatankuasa tersebut perlu mendapat kelulusan daripada kuasa eksekutif untuk memanggil Azam menjelaskan semua dakwaan terhadapnya.

“Saya menyeru Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob segera mengisytihar Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi Agensi-Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri tidak berada di bawah mana-mana kementerian dan tidak perlu mendapat kebenaran untuk mengadakan mesyuarat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lim menambah, Ismail Sabri juga perlu berikrar bahawa perdana menteri menjunjung prinsip pengasingan kuasa dalam Perundangan, Kehakiman dan Eksekutif.

Isu mengenai pemilikan saham membabitkan Azam dibangkitkan di Parlimen pada 14 Disember oleh Ahli Parlimen Sungai Buloh R Sivarasa, yang mempersoalkan sama ada Azam mengisytiharkan 2.15 juta saham dimiliki dalam Excel Force MSC Bhd pada 2015, serta 1.93 juta saham dalam Gets Global Bhd pada tahun yang sama dan 1.02 juta saham lagi pada 2016.

Pemilikan saham tersebut telah mencetus kebimbangan mengenai konflik kepentingan.

Azam memaklumkan kepada Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) bahawa saham itu dibeli oleh adik lelakinya Nasir Baki atas namanya di pasaran terbuka. Saham itu kemudian dipindahkan kepada  Nasir pada 2015.

LPPR pada sidang media Rabu lalu membersihkan nama Azam daripada sebarang salah laku.

Pengakuan Azam mengenai saham tersebut menarik perhatian Suruhanjaya Sekuriti (SC) berhubung kemungkinan penyalahgunaan akaun dagangan.  SC dalam kenyataan pada Khamis lalu berkata ia akan mendapatkan penjelasan dari Azam berhubung perkara itu.

Menurut kenyataan SC, di bawah Seksyen 25 Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA), setiap akaun sekuriti yang dibuka dengan depositori pusat mestilah atas nama pemilik sekuriti yang didepositkan atau atas nama penama yang diberi kuasa. – 9 Januari, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen