Diplomasi budaya dan sinema Asean


Daniyal Kadir

SEJAK kebelakangan istilah diplomasi budaya kembali hangat diperkatakan. Hal ini ditambah pula dengan langkah pejabat menteri luar melantik penasihat khas dalam bidang perfileman dengan hasrat khusus untuk mengangkat lapangan diplomasi budaya.

Walaupun pemilihan mereka yang bertanggungjawab ini mendatangkan seribu macam persoalan, khususnya dari sudut kredibiliti dan keupayaan, menjadikan filem sebagai rangsangan terpenting dalam diplomasi budaya adalah langkah yang betul.

Namun sebelum kita mahu bercakap banyak tentang membawa filem-filem negara ke seluruh dunia, fokus berkenaan harus dikecilkan dahulu dengan melihat prestasi dan kemampuan untuk menjadikan filem tempatan sebagai alat diplomasi di rantau Asia Tenggara, atau lebih khususnya Asean.

Di rantau Asia Tenggara filem sebagai medan integrasi belum memainkan peranan secara meluas dan tersusun walaupun di peringkat Asean terdapat beberapa dokumen dan kenyataan bersama mengenai usaha untuk mewujudkan Komuniti Asean, khususnya Deklarasi Kuala Lumpur yang bercita-cita besar mewujudkan Komuniti Asean menjelang tahun 2025.

Ia satu cita-cita besar yang memerlukan kesepaduan dalam pelbagai bidang termasuk filem.

Dalam kerangka ini dapat difahami bahawa setiap negara anggota Asean mempunyai industri perfilemannya yang tersendiri dan melalui filem dari negara masing-masing kefahaman mengenai kepelbagaian budaya yang wujud di rantau ini dapat disampaikan dengan cara yang paling mudah, ringkas tetapi bermakna.

Ini kerana filem merupakan medium universal yang telah memainkan peranannya sebagai perantara budaya yang berkesan.

Namun begitu, sehingga ke hari ini, Asean masih tidak berjaya membentuk persefahaman terancang untuk menjadikan filem sebagai instrumen penting penyatuan serantau.

Setiap negara termasuk Malaysia juga tidak memainkan peranan secukupnya untuk mengangkat filem untuk berperanan dengan lebih besar.

Secara asasnya terdapat tiga matlamat utama yang boleh dicapai jika kesepaduan filem di peringkat rantau ini berjaya digembleng dengan erat.

Pertama, ia mampu meningkatkan tahap pengetahuan silang budaya dalam kalangan warga Asean; kedua, rantau ini mampu menyelaraskan usaha perkongsian warisan  bersama, dan ketiga, ia mampu mendatangkan manfaat ekonomi kreatif Asean, khususnya dalam pengukuhan pembangunan industri perfileman.

Walaupun ketiga-tiga matlamat ini nampak molek, namun terdapat tiga isu pokok yang perlu diperhalusi sebelum semuanya  dapat berjalan dengan baik.

Pertama, sehingga kini Asean masih tidak mempunyai institusi yang menyelaras pembangunan filem atau industri kreatif secara bersasar seperti badan pengurusan industri tenaga serantau yang mempunyai Asean Centre for Energy (ACE).

Di samping itu, walaupun kita dilihat sebagai satu rantau yang dekat dengan perkongsian-perkongsian budaya yang erat, namun mekanisme pemasaran dan pembangunan filem di rantau ini masih tidak teratur. Keadaan ini menyaksikan kita sukar untuk menonton filem yang dihasilkan oleh rakan-rakan dari rantau ini di panggung wayang.

Aspek ketiga yang boleh diteliti ialah ketidaan penganjuran festival induk peringkat Asean yang dilaksanakan secara serius. Ini mendatangkan kerisauan mengenai medan pengiktirafan dan kefahaman sinema serantau dapat dijadikan agenda sejagat dan kepentingan bersama.

Pada masa kini, filem dijadikan sebahagian daripada perbincangan di peringkat Asean Ministers Responsible for Culture and Arts (AMCA) dan Asean Ministers Responsible for Information (AMRI) dan berdasarkan kepada semakan kepada perbincangan yang dijalankan melalui kedua-dua mesyuarat ini, tiada perkembangan besar yang dibincangkan dalam melihat kepentingan filem sebagai instrumen integrasi budaya.

Kelompongan seperti ini wajar direbut Malaysia untuk menjadi jaguh dalam membawakan agenda perfileman sebagai diplomasi budaya sebagai agenda bersama di peringkat serantau bersama rakan-rakan Asean yang lain.

Ia bakal membuka mata bahawa Malaysia sedang serius mempromosikan diplomasi budaya melalui perfileman dan ia bukan sekadar cakap-cakap kosong yang tidak ada penghujungnya.

Pada hari ini, umumnya masyarakat Asean hidup terpecah-pecah tanpa mengambil peduli soal kebudayaan dan kehidupan serantau. Ini disebabkan warga di rantau ini hilang sifat kepunyaan dan bergantung kepada sifat nasionalistik berteraskan negara semata-mata.

Malah kejayaan dikecapi mana-mana negara di rantau ini tidak diraikan sebagai kemenangan rantau. Misalnya kejayaan filem Thailand, Uncle Boonmee Who Can Recall His Past Lives arahan Apichatpong Weerasethakul yang memenangi anugerah Palme d’Or (Filem Terbaik) di Festival Filem Cannes pada tahun 2010.

Kejayaan ini tidak dianggap sebagai kejayaan Asean, sebaliknya hanya diraikan di Thailand. Media di Malaysia misalnya juga tidak mengambil kisah mengenai kejayaan ini.

The Memory of the World Programme merupakan sebuah program antarabangsa yang bertujuan untuk menjaga, memelihara, menguruskan akses dan penggunaan warisan dokumentari dari seluruh dunia. Program ini dilancarkan oleh Unesco pada 1992.

Filem merupakan sebahagian daripada warisan yang dipelihara di bawah program ini dan diletakkan di bawah kategori audio visual. Pada 2014, Singapura telah memfailkan 91 filem-filem Melayu yang dibikin di bawah Studio Cathay-Keris sekitar 1950-an hingga 1960-an untuk diletakkan di bawah program ini sebagai warisan dari Singapura.

Tindakan Singapura ini telah melepaskan satu kesempatan terbaik untuk menjadikan 91 filem ini sebagai warisan bersama Asean kerana industri perfileman pada era berkenaan bukan milik Singapura sahaja, tetapi juga banyak disumbangkan oleh pembikin filem, pelakon dan kru yang berasal dari Malaysia misalnya M. Amin dan Nordin Ahmad.

Ini merupakan antara kes menarik yang dapat dilihat kesan daripada ketiadaan persefahaman budaya sehingga menimbulkan keadaan warisan serantau tidak dianggap sebagai warisan bersama.

Apa yang boleh dibanggakan kerjasama erat industri perfileman Asean berlangsung dengan sangat cermat dan teratur di peringkat sinema indie, berbanding kerjasama formal di peringkat tertinggi.

Keadaan ini membangkitkan persoalan sampai bila sinema Asean mahu bergerak dalam keadaan terpencil seperti ini tanpa ada perubahan besar-besaran yang digerakkan oleh kesedaran orang yang memegang kuasa.

Pasaran rantau ini cukup luas, dengan sokongan dan dasar yang tepat, kita sudah tentu mampu berbangga dengan pencapaian sinema di rantau ini dan penciptaan pasaran yang betul akan meningkatkan kemampuan sinema rantau ini dihargai penghuninya sendiri.

Malaysia yang sudah melantik dua penasihat khas diplomasi budaya harus meneliti perkara ini dengan sedalam-dalamnya, kita amat berharap Malaysia akan menjadi negara anggota Asean paling ke depan memperjuangkan filem sebagai alat diplomasi dalam meningkatkan tahap integrasi komuniti Asean. – 9 Januari, 2022. 

* Daniyal Kadir ialah penulis buku Membedah P.Ramlee, Ahli Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur dan Anggota Sidang Komuniti Filem Titiwangsa.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen