PIHAK berkuasa Arab Saudi membebaskan seorang puteri dan anak perempuannya yang ditahan selama hampir tiga tahun tanpa pertuduhan di Riyadh, kata kumpulan hak asasi manusia semalam.
Puteri Basmah Saud, 57, kerabat diraja yang sekian lama dilihat sebagai penyokong hak wanita dan raja berperlembagaan, ditahan sejak Mac 2019 dan pada April 2020 merayu Raja Arab Saudi Raja Salman dan Putera Mahkota Mohammed Salman supaya membebaskannya atas alasan kesihatan.
“Puteri dan anak perempuannya Suhoud dibebaskan. Dia dinafikan rawatan perubatan diperlukan dalam keadaan yang berpotensi mengancam nyawa.
“Sepanjang penahanan, tidak ada sebarang pertuduhan dikenakan terhadapnya,” kata ALQST untuk Hak Asasi Manusia menerusi Twitter.
Pihak berkuasa Arab Saudi enggan mengulas kes itu.
Menurut sumber yang rapat dengan keluarga itu, Puteri Basmah ditahan sejurus sebelum perjalanan ke Switzerland bagi menjalani rawatan perubatan.
Bagaimanapun, maklumat lanjut mengenai penyakitnya tidak pernah didedahkan.
Puteri Basmah ditahan di penjara Al-Ha’ir iaitu lokasi sama ramai tahanan politik ditempatkan.
Putera Mohammed melaksanakan pembaharuan dalam pemerintahan sejak dilantik bapanya, Raja Salman pada Jun 2017 dengan menyingkirkan pewaris takhta yang dilantik sebelum ini, Mohammed Nayef.
Pembaharuan itu termasuk menarik balik larangan selama beberapa dekad ke atas wanita untuk memandu dan kelonggaran peraturan “penjagaan” yang memberi lelaki kuasa sepenuhnya ke atas saudara wanita.
Dalam keterangan bertulis kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada 2020, keluarga puteri terbabit berkata, penahanan beliau kemungkinan besar disebabkan rekodnya yang lantang mengkritik isu penderaan.
Pada November 2017, kempen anti rasuah yang meluas menyaksikan hotel mewah di Riyadh, Ritz-Carlton dijadikan pusat tahanan de facto selama tiga bulan untuk puluhan putera raja dan pegawai kanan disyaki terbabit dalam rasuah atau tidak setia. – AFP, 9 Januari, 2022.
Komen