21 maut terperangkap dalam kenderaan di Pakistan


Kenderaan pelancong terkandas di bandar Murree dalam cuaca sejuk dan salji tebal. Setakat ini 21 dilaporkan maut di dalam kenderaan. – Gambar EPA, 9 Januari, 2022.

SEKURANG-KURANGNYA 21 maut dalam cuaca sejuk susulan puluhan ribu penduduk memenuhi bandar di pergunungan Pakistan untuk menyaksikan salji lebat luar biasa, menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk, kata pihak berkuasa.

Polis berkata lapan individu beku dalam kereta masing-masing, sementara tidak dapat dipastikan sama ada mungkin ada mangsa yang maut akibat lemas menghidu asap ekzos kereta.

Menteri Dalam Negeri Sheikh Rashid berkata tentera dikerahkan ke tempat kejadian untuk menyuraikan kesesakan lalu lintas dan menyelamatkan ribuan lagi yang masih terperangkap di bandar Murree, kira-kira 70km dari Islamabad.

Video dikongsi di media sosial menunjukkan kereta berhenti dalam kesesakan lalu lintas, dengan salji setinggi 1 meter di bumbung kenderaan.

“Salji tebal menyebabkan kesesakan lalu lintas dan penutupan jalan,” kata seorang pelancong, Babar Khan yang terkandas selama beberapa jam.

“Jalan juga ditutup kerana pokok tumbang di banyak tempat,” katanya.

Selama beberapa hari ini, media sosial Pakistan penuh dengan gambar dan video orang ramai bermain salji di Murree, bandar resort yang indah dibina oleh British pada abad ke-19 sebagai sanatorium bagi tentera penjajah.

Pejabat Ketua Menteri Punjab berkata kawasan sekitar diisytihar sebagai kawasan bencana dan menggesa orang ramai menjauhi kawasan itu.

Perdana Menteri Imran Khan berkata beliau terkejut dan bersedih dengan tragedi itu. – AFP, 9 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen