LEBIH 100,000 penunjuk perasaan berarak di Perancis susulan rancangan kerajaan mengetatkan pengambilan vaksin Covid-19, beberapa hari selepas Presiden Emmanuel Macron berjanji akan “menyakitkan hati” mereka yang enggan mengambil suntikan.
Jumlah itu empat kali lebih ramai berbanding tunjuk perasaan pada 18 Disember, di mana 25,500 orang berarak di seluruh negara, menurut anggaran kerajaan.
Protes itu bagi membantah cadangan undang-undang mewajibkan individu menunjukkan bukti mereka sudah menerima vaksin lengkap koronavirus untuk makan di luar, menggunakan kereta api awam atau menghadiri program budaya.
Pada Khamis, dewan Parlimen Perancis meluluskan rang undang-undnag kontroversi bagi bacaan pertama.
Kerajaan berkata ia menjangkakan syarat baharu itu akan dilaksanakan bermula 15 Januari.
Kementerian dalam negeri berkata 105,200 orang menyertai tunjuk perasaan di seluruh Perancis semalam, dengan 18,000 di Paris, di mana 10 ditahan polis dan tiga pegawai cedera ringan.
Kira-kira 6,000 penunjuk perasaan protes di Toulon, sementara polis di Montpellier terpaksa menggunakan gas pemedih mata ketika bertembung dengan kumpulan itu.
Perancis merekodkan 303,669 kes baharu Covid-19 semalam, di mana ia memberi tekanan kepada hospital.
Penunjuk perasaan di Paris, dengan kebanyakannya tidak memakai topeng pelitup muka, meredah cuaca sejuk dan hujan dengan membawa plakad tertera perkataan “kebenaran” dan “katakan tidak kepada pas vaksin”. – AFP, 9 Januari, 2022.
Komen