SEKURANG-KURANGNYA lima terbunuh dan 20 lagi hilang dalam satu insiden tebing runtuh menimpa bot di sebuah tasik di Brazil, kata pihak berkuasa.
“Setakat ini lima disahkan mati dan anggaran 20 yang lain masih hilang, tambahan kepada 32 individu yang cedera,” kata komander jabatan bomba Edgard Estevo da Silva pada sidang media.
Insiden pada tengah hari semalam berlaku apabila sebahagian besar batu terjatuh ke tasik Furnas sebelum menimpa tiga bot pelancong.
Tasik itu menjadi tumpuan pelancong di wilayah Capitolio. Pelancong datang untuk melihat dinding batu, gua dan air terjun yang mengelilingi tasik hijau itu, terbentuk daripada empangan hidroelektrik.
Dalam video dikongsi di media sosial, tebing itu kelihatan jatuh di tiga bot, mencetuskan panik dalam kalangan pelancong terbabit.
Sekurang-kurangnya 32 individu cedera, sembilan dirawat di hospital, kata bomba.
Pasukan penyelamat akan menyambung operasi pada pagi ini.
Hujan sangat lebat beberapa hari di barat daya Brazil mungkin menyumbang kepada insiden itu, kata bomba. – AFP, 9 Januari, 2022.
Komen