EJEN sempadan Australia menahan bintang tenis Novak Djokovic selama lapan jam di lapangan terbang Melbourne tanpa dibenarkan berhubungan dengan mana-mana pihak sebelum membatalkan visa dan menghantar beliau ke pusat tahanan, kata peguamnya hari ini.
Menurut peguam, Djokovic mendapat pengecualian kesihatan daripada badan tenis dan kerajaan Australia kerana beliau disahkan positif Covid-19 pada Disember lalu yang sepatutnya melayakkannya memasuki sempadan negara itu.
“Tarikh ujian PCR pertama direkodkan pada 16 Disember 2021,” kata pasukan peguamnya dalam penyerahan 32 muka surat sebelum perbicaraan mahkamah persekutuan hari ini untuk merayu keputusan visa.
Menurut peguam, Djokovic yang mendarat di Melbourne pada malam Rabu selepas perjalanan 25 jam melalui Dubai meminta masa untuk berehat dan berunding dengan peguamnya keesokan harinya.
Namun, menurut peguam itu selepas seorang pegawai sempadan pada mulanya bersetuju, pihak atasannya berjaya menekan Djokovic untuk membenarkan mereka membuat keputusan segera mengenai visanya.
Warga asing kebanyakannya masih dilarang melakukan perjalanan ke Australia dan mereka yang dibenarkan masuk mesti divaksin sepenuhnya atau mempunyai pengecualian perubatan.
Bintang tenis itu telah ditahan sejak pagi Khamis di pusat tahanan Melbourne “walaupun permintaannya untuk dipindahkan” ke kemudahan lain untuk berlatih bagi Terbuka Australia, tambah mereka.
Walaupun Djokovic berjaya mendapat penangguhan undang-undang daripada pengusiran, namun tidak dapat dipastikan sama ada beliau akan bermain dalam kejohanan pada 17 hingga 30 Januari ini.
Jika berjaya, beliau akan memburu mahkota kejuaraan Terbuka Australia ke-10 dan rekod kejuaraan Grand Slam ke-21 – satu pencapaian yang turut diburu pemain Sepanyol Rafael Nadal.
Dalam video dalaman yang bocor hari ini, ketua badan tenis Australia, Craig Tiley berkata organisasinya telah melakukan “apa yang mereka mampu”. – AFP, 8 Januari, 2022.
Komen