SEKURANG-KURANGNYA 16 orang maut selepas salji tebal memerangkap mereka di dalam kenderaan ketika puluhan ribu pelawat menyerbu bandar bukit Murree di Pakistan, kata menteri dalam negeri hari ini.
Tentera digerakkan untuk membersihkan jalan dan menyelamatkan penduduk yang masih terperangkap, kata Sheikh Rashid dalam mesej video, sambil menambah: “Sekurang-kurangnya 16 hingga 19 orang maut di dalam kenderaan.”
Menurut jurucakap polis, lebih 100,000 kereta memasuki bandar Murree yang indah dalam beberapa hari lalu untuk melihat salji yang luar biasa lebat, menyebabkan kesesakan lalu lintas di laluan keluar masuk.
Murree yang terletak kira-kira 70 kilometer (45 batu) timur laut Islamabad, telah lama popular untuk lawatan sehari dari ibu negara.
Pejabat ketua menteri wilayah Punjab berkata, Murree telah diisytiharkan sebagai “kawasan bencana” dan menggesa orang ramai menjauhkan diri. – AFP, 8 Januari, 2022.
Komen