Dilema Umno


UMNO berada dalam kedudukan yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Perdana menteri dari Umno tetapi Umno tidak menguasai kerajaan.

Bila desakan untuk perdana menteri melakukan rombakan kabinet, saya sangat bersimpati dengan kedudukan beliau.

Siapa lagi yang beliau boleh lantik menggantikan ahli jemaah menterinya yang gagal. Beliau bukan mempunyai banyak pilihan pun dari ahli Parlimen yang sedia ada.

Umum pun tahu, beliau mewarisi jemaah menteri dari kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang tumbang itu. Hampir semua penyumbang kerajaan PN yang gagal itu terus berada dalam kerajaan Ismail Sabri.

Hendak dibuang siapa dan siapa gantinya sangat tertakluk kepada sokongan parti masing-masing. Silap perhitungan, mereka akan menarik sokongan terhadap PM.

Menyalahkan perdana menteri kerana kelemahan ketara kerajaan sekarang amatlah senang. Tetapi jika kita berada dalam kedudukan beliau, mungkin kita juga akan sukar melakukan apa yang sepatutnya dilakukan.

Perdana menteri bukan tidak mengerti betapa keyakinan rakyat terhadap kerajaannya semakin menurun drastik.

Tetapi kedudukan beliau yang sangat bergantung kepada parti-parti kecil dalam kerajaan sekarang sangat menyukarkan beliau.

Yang terpukul ialah Umno. Kerana setiap kelemahan kerajaan, Umno yang akan menerima bukan sekadar tempias, tetapi ‘the hurricane of people’s anger’.

Namun Umno juga tidak boleh membiarkan perdana menteri keseorangan. Beliau adalah wakil Umno dan beliau sepatutnya menjadi suara Umno. Kalau beliau gagal, Umno yang dituduh gagal. PM pasti mengerti ini.

Jadi Umno tidak boleh membiarkan perkara ini terusan begini. Kerana kita tidak mahu kebencian rakyat terhadap Pakatan Harapan dan PN sebelum ini, menjatuhkan lagi kerajaan Keluarga Malaysia.

Parti sedang bekerja keras untuk mencari strategi keluar dari kemelut ini. Tetapi buat masa sekarang, dilema Umno ini akan berterusan. – 8 Januari, 2022.

* Mohamed Khaled Nordin merupakan naib presiden Umno.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen