Sri Lanka bayar AS$6.8 juta kepada China, batal beli baja


Bank Rakyat Sri Lanka yang dikendalikan kerajaan berkata ia membayar Kumpulan Bioteknologi Qingdao Seawin sebanyak AS$6.87 juta berkaitan dengan penyelesaian di luar mahkamah berhubung pembatalan pembelian baja dari republik komunis China. – Gambar EPA, 8 Januari, 2022.

SRI LANKA telah membayar syarikat China sebanyak AS$6.8 juta walaupun menolak penghantaran baja organiknya, kata pegawai pada Sabtu, walaupun Colombo kini sedang dilanda krisis pertukaran wang asing.

Bank Rakyat Sri Lanka yang dikendalikan kerajaan berkata ia membayar Kumpulan Bioteknologi Qingdao Seawin sebanyak AS$6.87 juta berkaitan dengan penyelesaian di luar mahkamah berhubung penghantaran itu.

Baja merupakan salah satu barang yang kekurangan bekalan di Sri Lanka, namun pihak berkuasa berkata pada Oktober telah menunjukkan penghantaran itu tercemar dan melarangnya daripada mendarat di mana-mana di negara itu.

China bertindak balas dengan menyenaraihitamkan bank itu dan mengancam tindakan undang-undang antarabangsa terhadap Colombo.

Beijing merupakan rakan pembangunan utama Colombo dan telah memberi pinjaman berbilion dolar, menimbulkan kebimbangan Sri Lanka mungkin menuju ke perangkap hutang China, walaupun kedua-dua negara telah menolak kebimbangan sedemikian.

Penyelesaian itu dibuat menjelang lawatan ke pulau itu oleh Menteri Luar China Wang Yi pada Sabtu.

Wakil China itu membuat lawatan dua hari untuk berbincang dengan Presiden Gotabaya Rajapaksa dan pemimpin lain, dan untuk menandakan ulang tahun ke-65 hubungan diplomatik antara kedua-dua pihak.

Sri Lanka pada asalnya memesan baja organik China sebagai sebahagian daripada usaha Rajapaksa untuk menjadi negara pertanian organik 100 peratus pertama di dunia.

Berikutan bantahan meluas oleh petani yang mengatakan baja agrokimia akan menjejaskan hasil secara kritikal, kerajaan pada Oktober menarik balik larangan ke atas baja kimia yang dikenakan pada Mei tahun lepas. – AFP, 8 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen