Saman aktivis bukan bermaksud Azam Baki betul, kata Guan Eng


Ragananthini Vethasalam

Setiausaha Agung DAP itu berkata tindakan ketua agensi antirasuah Azam Baki menyaman pemberi maklumat Lalitha Kunaratnam kerana memfitnah tidak membawa maksud beliau betul. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Januari, 2022.

SALAH laku Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki tidak akan terhapus begitu sahaja hanya dengan menyaman aktivis antirasuah Lalitha Kunaratnam, kata Lim Guan Eng.

Setiausaha Agung DAP itu berkata tindakan Azam Baki menyaman pemberi maklumat Lalitha kerana memfitnah tidak membawa maksud beliau tidak salah.

“Ini kerana Azam Baki sendiri mengaku yang beliau memiliki saham tersebut yang digunakan oleh adiknya, dan ini jelas telah melanggar undang-undang.

“Malah, saman fitnah ini tidak sepatutnya diteruskan kerana tiada sebab jelas mendakwa Lalitha yang telah membongkarkan fakta. 

“Oleh itu jelas ianya berniat untuk menutup dan mengalih perhatian kegagalan Azam Baki mewajarkan tindakannya yang salah,” kata Lim dalam satu kenyataan hari ini..

Ahli Parlimen Bagan itu berkata Biro Undang-undang Kebangsaan DAP juga telah menawarkan bantuan kepada Lalitha jika Azam Baki meneruskan samannya.

Dua hari lepas, Lalitha berkata beliau diberikan notis oleh firma guaman Zain Megat dan Murad bagi pihak anak guam mereka, Azam Baki.

Lalitha menulis laporan tentang Azam yang didakwanya memiliki jutaan saham dan dua syarikat disenarakan dalam pasaran saham.

Artikel itu diterbitkan dalam laman web Independent News Service bertajuk “Business ties among MACC leadership: How deep does it go? Part 1 and 2.”

Berikutan itu mereka menuntut Lalitha membuat permohonan maaf terbuka selain meminta ganti rugi berjumlah RM10 juta.

Lim berkata dari segi etika, moral dan juga perundangan Azam Baki tidak sepatutnya meneruskan jawatannya sebagai ketua pesuruhjaya SPRM selepas mengakui pemilikan dan pembelian berjuta-juta saham dan waran yang diurusniagakan bagi pihak adiknya, Nasir Baki, yang telah menggunakan akaun dagangan saham Azam sebagai proksi.

Bekas menteri kewangan itu berkata perkara itu turut mendapat perhatian Suruhanjaya Sekuriti.

“Malah tindakan Azam Baki bertindak terhadap pemberi maklumat kerana menyatakan fakta telah membatalkan kelayakannya daripada menjadi Ketua Pesuruhjaya SPRM, yang terikat secara sah untuk melindungi pemberi maklumat kerana SPRM sepatutnya bertindak sebagai penjaga mereka yang mendedahkan rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan kewangan,” katanya.

Ahli Parlimen Bagan itu turut berkata sikap berdiam diri Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berhubung perkara itu hanya akan menambahkan lagi kegagalan pentadbirannya.

“Ia sama seperti Ismail Sabri mahu melindungi Azam, ia tidak lagi boleh dipertahankan dari segi politik untuk Ismail Sabri berbuat demikian melainkan beliau mahu menambah dua lagi kegagalan berbanding pendahulunya, yang terkenal dengan kegagalan pengurusan Covid-19. pandemik dan kegagalan untuk menarik ekonomi keluar daripada kemelesetan,” katanya.

Beliau berkata di bawah pentadbiran Ismail Sabri, pandemik Covid-19 tidak menunjukkan tanda-tanda peningkatan manakala ekonomi menguncup 4.5 peratus berikutan perintah kawalan pergerakan.

“Kegagalan pengurusan bencana banjir di beberapa negeri baru-baru ini yang menyebabkan lebih 50 kematian dan kerugian ekonomi dianggarkan RM20 bilion adalah satu titik hitam pada rekod Ismail Sabri yang hanya akan ditambah dengan kegagalannya bertindak terhadap Azam,” katanya.

Kedua-dua kegagalan ini akan membuktikan yang Ismail Sabri akan lebih teruk daripada (bekas perdana menteri) Muhyiddin (Yassin) dan menjadi perdana menteri paling teruk dalam sejarah Malaysia,” tambahnya.

Pada 5 Januari Azam Baki memberitahu media beliau telah membenarkan adiknya membeli saham daripada dua syarikat, menggunakan akaun dagangannya.

Ketua agensi antirasuah itu bagaimanapun berkata, saham itu kemudiannya dipindahkan kepada Nasir.

Isu ini turut dibangkitkan di Parlimen pada 14 Disember oleh ahli Parlimen Sungai Buloh R. Sivarasa yang mempersoalkan sama ada Azam Baki telah mengisytiharkan dakwaan 2.15 juta saham dimiliki dalam Excel Force MSC Bhd pada 2015, serta 1.93 juta saham dalam Gets Global Bhd pada tahun sama dan 1.02 juta saham pada tahun berikutnya.

Azam Baki juga berkata beliau telah memaklumkan kepada pihak atasan pada 2015 mengenai pembelian saham oleh adiknya dan tiada sebarang kebimbangan dibangkitkan. – 8 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen