MAJLIS Keselamatan PBB akan bertemu pada Rabu depan dalam pertemuan tidak rasmi bagi membincangkan perkembangan terbaru di Sudan ketika demonstrasi menentang pemerintahan tentera di negara itu terus berterusan, kata sumber diplomatik.
Persidangan itu akan diadakan secara tertutup, kata sumber hari ini, menambah yang mesyuarat itu diminta diadakan oleh enam daripada 15 ahli majlis: AS, Britain, Perancis, Norway, Ireland dan Albania.
Pendirian Majlis Keselamatan ketika ini “tidak seperti diharapkan kerana China dan Rusia akan menentangnya,” kata sumber yang identitinya dirahsiakan itu.
Beijing dan Moscow sejak sekian lama menekankan yang situasi di Sudan yang huru hara sejak tentera mengambil alih pentadbiran pada 25 Oktober lalu adalah urusan dalaman negara dan tidak mengancam keselamatan antarabangsa.
Mesyuarat itu akan membolehkan Wakil Khas Sudan ke PBB Volker Perthes memberi taklimat kepada ahli majlis tentang keadaan sejak perdana menteri Abdallah Hamdok meletak jawatan ketika protes awam terhadap junta tentera terus berlanjutan.
Hamdok adalah muka depan transisi pentadbiran awam yang dilancarkan selepas penyingkiran Jeneral Omar al-Bashir, tetapi wujud kebimbangan Sudan akan kembali kepada pemerintahan diktator.
AS dan Kesatuan Eropah memberi amaran yang tentera Sudan akan menamakan calon perdana menteri mereka sendiri selepas Hamdok berundur.
Pada Khamis, tiga orang penunjuk perasaan ditembak mati di bandar Khartoum dan sekitarnya dan menurut doktor dan saksi, rakyat sedang berhimpun di seluruh negara menentang pemerintahan tentera.
Sejak rampasan kuasa diketuai Jeneral Abdel Fattah al-Burhan pada 25 Oktober lalu, tindakan serang balas terhadap tunjuk perasaan sudah mengorbankan 60 orang dan beratus lain cedera, menurut Jawatankuasa Pusat Doktor Sudan, sebuah persatuan bebas. – AFP, 8 Januari, 2022.
Komen