SEMBILAN mayat ditemui di jalan raya di timur Mexico semalam, kata pegawai - penemuan ngeri terbaru di negara yang dilanda keganasan berkaitan kartel dadah.
Kesemua mayat itu ditinggalkan di lebuh raya di Isla, Veracruz, kata gabenor negeri Cuitlahuac Garcia.
Wilayah itu yang bersempadan dengan Teluk Mexico, adalah lokasi utama peperangan di antara geng dadah yang bersaing, dan satu daripada negeri paling ganas di negara itu.
Garcia berkata bantuan sedang dihantar ke kawasan itu untuk memburu mereka yang bertanggungjawab, berikrar tiada yang bebas daripada hukuman.
Mesej yang dikatakan ditinggalkan oleh penjenayah mengatakan mangsa yang maut termasuk individu mempunyai hubungan dengan setiausaha dalam negeri Veracruz, Eric Cisneros, yang dituduh bersubahat dengan pengedar dadah.
Garcia menafikan dakwaan itu dan berkata Cisneros “akan terus bekerja seperti biasa”.
Pendakwa raya berusaha untuk mengenal pasti mayat tetapi tiada seorang pun ahli keluarga Cisneros dipercayai terbabit, katanya.
Penemuan itu berlaku sehari selepas 10 mayat ditemui dalam SUV yang ditinggalkan di luar dewan perbandaran Zacatecas.
Kartel juga bersaing di kawasan itu untuk mengawal laluan penyeludupan dadah ke Amerika Syarikat, kata pegawai dan pakar.
Semalam, Presiden Mexico Andres Manuel Lopez Obrador menyifatkan penemuan mayat di tempat awam sedemikian sebagai “provokasi.”
Lopez Obrador memegang jawatan pada 2018 dengan memperjuangkan strategi lebih lembut dalam menangani jenayah kekerasan dengan memerangi kemiskinan dan ketidaksamaan melalui program sosial, bukannya dengan tentera.
Beliau meminta Amerika Syarikat untuk melabur dalam pembangunan ekonomi serantau dan bukannya menghantar helikopter bersenjata atau senjata lain untuk menangkap pengedar dadah.
Di seluruh Mexico, lebih 300,000 orang maut dalam keganasan berkaitan dadah sejak kerajaan mengerahkan tentera untuk memerangi kartel pada 2006. – AFP, 8 Januari, 2022.
Komen