Majikan beri bantuan kepada pekerja terjejas banjir


Khoo Gek San

MEF berkata selain memberi cuti bergaji dan bantuan kewangan, ada juga majikan yang menghantar pasukan untuk kerja-kerja pembersihan ke rumah pekerja yang terjejas akibat banjir. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Januari, 2022.

MEMAHAMI kesulitan pekerja yang terkesan akibat bencana banjir yang melanda beberapa negeri bulan lalu, kebanyakan majikan sektor swasta memberi cuti bergaji serta bantuan lain.

Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) berkata ada juga syarikat yang membantu pekerja membersihkan rumah bagi meringankan beban mereka.

Presiden MEF Dr Syed Hussain Syed Husman memberitahu The Malaysian Insight, sebanyak 77% majikan sektor swasta memberi cuti kecemasan bergaji sehingga tujuh hari kepada pekerja yang terjejas akibat banjir.

Malah ada majikan yang melanjutkan cuti bergaji sehingga 30 hari, bergantung kepada kesan yang dialami pekerja, katanya.

“Selain itu, pekerja yang terjejas teruk juga menerima bantuan kewangan,” tambah Syed Hussain.

Menurutnya, sebanyak 90% majikan sektor swasta memberi cuti bencana dan bantuan tunai sekali beri antara RM150 hingga RM3,000.

Syed Hussain berkata sebelum ini telah menggesa semua majikan memberi semua bentuk bantuan kepada pekerja yang terjejas akibat banjir. 

Antara bantuan lain yang diberi oleh majikan termasuk menghantar pasukan untuk membersihkan rumah, bantuan perubatan dan sokongan psikologi, katanya.

“Memang mudah memberi bantuan kewangan, tetapi apa yang merisaukan majikan ialah kesihatan mental pekerja. Jadi, majikan tambah cuti bencana untuk pekerja yang terkesan.”

Tambah beliau, MEF setakat ini tidak menerima sebarang aduan mengenai majikan yang mendesak pekerja terjejas banjir supaya segera kembali  bekerja, sama ada ugutan untuk memotong gaji atau pemberhentian kerja.

Sementara itu, Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Malaysia Ding Hong Sing berkata, pekerja sektor itu yang terkesan akibat banjir juga diberi cuti kecemasan dan bantuan mencuci rumah.

“Jika pekerja maklumkan kepada majikan yang rumah mereka terjejas teruk, majikan dan pekerja lain akan sama-sama membantu bersihkan rumah,” kata Ding kepada The Malaysian Insight.

Katanya, beberapa kilang PKS juga dinaiki air semasa banjir besar bulan lalu, sehingga ada yang mengalami kerugian besar.

“Bagi syarikat yang menanggung kerugian besar akibat banjir, majikan mungkin terpaksa lewat membayar gaji pekerja buat sementara waktu,” jelasnya. – 8 Januari, 2022.   

Berita penuh di sini


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen