Undi18 tingkatkan jumlah pengundi kepada 20.55 juta


Chan Kok Leong

Sebanyak 5.61 juta pengundi baharu ditambah menjadikan jumlah keseluruhan pengundi baharu kepada 20.55 juta.– Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Januari, 2022.

JUMLAH keseluruhan pengundi berdaftar di Malaysia kini mencecah 20.55 juta berikutan kemasukan pengundi Undi18 dan pendaftaran automatik.

Dalam data yang diberikan oleh timbalan pengarah pendidikan politik DAP Dr Ong Kian Ming, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menambah 5.61 juta pengundi baharu, menjadikan jumlah keseluruhan pengundi baharu kepada 20.55 juta.

Pada pilihan raya umum 2018, hanya terdapat 14.94 juta pengundi berdaftar.

Penambahan itu dibuat selepas Mahkamah Tinggi Kuching mengarahkan kerajaan melaksanakan pindaan Undi18 selewat-lewatnya 31 Disember, selepas membenarkan cabaran undang-undang difailkan oleh lima pemuda Sarawak terhadap keputusan kerajaan terdahulu - diketuai Muhyiddin Yassin - untuk tidak melaksanakan pindaan sebelum Julai.

Rang undang-undang Undi18, secara rasmi dikenali sebagai Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 2019, menurunkan umur pengundian dan calon daripada 21 kepada 18 tahun. Rang undang-undang itu juga termasuk pendaftaran pengundi automatik.

Daripada jumlah pengundi baharu, Selangor menerima jumlah tertinggi iaitu 1.06 juta pengundi baharu diikuti Johor (748,955), Sarawak (665,543), Perak (495,190) dan Sabah (481,477).

Sebaliknya, tiga negeri terkecil - Perlis, Putrajaya dan Labuan - mempunyai bilangan pengundi baharu yang paling sedikit iaitu masing-masing 41,746, 19,670 dan 17,044.

Ong, yang juga ahli Parlimen Bangi berkata sebahagian besar daripada 5.6 juta itu sebenarnya adalah pengundi berumur 21 tahun ke atas.

“Hanya 21% atau 1.2 juta daripada 5.6 juta tambahan berumur antara 18 dan 21. Selebihnya sebelum ini adalah pengundi tidak berdaftar yang berumur 21 tahun ke atas,” kata pakar pilihan raya itu.

Beliau berkata adalah menarik untuk melihat bagaimana pengundi yang sebelum ini tidak berdaftar akan mengundi pada pilihan raya umum akan datang.

Kerusi bandar mendapat jumlah pengundi baharu tertinggi.

Daripada 5.6 juta tambahan pengundi baharu, kerusi bandar di Selangor dan Johor menerima jumlah pengundi baharu tertinggi.

Dalam senarai 10 kerusi teratas yang menerima jumlah pengundi baharu tertinggi, enam terletak di Selangor, tiga di Johor dan satu di Sarawak.

Kerusi Selangor adalah Bangi, Kota Raja, Subang, Damansara, Klang dan Gombak manakala kerusi Johor adalah Tebrau, Iskandar Puteri dan Pasir Gudang. Satu-satunya kawasan pilihan raya Sarawak dalam senarai 10 teratas ialah Miri.

Kesemua 10 kerusi teratas yang menerima jumlah pengundi baharu tertinggi adalah kerusi bandar.

Menariknya, lapan daripada 10 kerusi teratas yang mempunyai jumlah pengundi baharu tertinggi ialah kerusi Pakatan Harapan. Satu-satunya terkecuali ialah Tebrau pimpinan Steven Choong dan Gombak pimpinan Mohamed Azmin Ali, kerana kedua-duanya telah berpaling tadah kepada kerajaan selepas menang di bawah Pakatan.

Senarai teratas kerusi yang menerima pengundi baharu tertinggi ialah kawasan Parlimen Bangi yang menerima 100,630 pengundi baharu. Ini diikuti Tebrau yang menerima 87,684 pengundi baharu, Kota Raja (77,750), Iskandar Puteri (76,410) dan Subang (72,630).

Dengan tambahan itu, Bangi kini akan mempunyai lebih 279,000 pengundi, lebih dua kali ganda berbanding pilihan raya umum 2013 yang hanya mempunyai 133,139 pengundi. Pada pilihan raya 2018, Bangi mempunyai 178,959 pengundi.

Tebrau, satu lagi kawasan bandar di Johor yang menempatkan banyak PKS, juga menyaksikan tambahan 87,684 pengundi baharu, menjadikan jumlahnya lebih 210,000. Kawasan bandar lain yang akan mempunyai lebih 200,000 pengundi ialah Kota Raja, Iskandar Puteri, Subang, Damansara, dan Klang. – 8 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen