NGO anjur konvensyen bantu selesai isu tanah rizab Melayu


Mohd Farhan Darwis

Pengerusi Pembela Aminuddin Yahaya berkata hasil konvensyen itu terutama status tanah rizab Melayu akan dibentangkan kepada kerajaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Januari, 2022.

SATU pertubuhan Melayu akan menghimpunkan sekumpulan pakar dan penyelidik hujung minggu ini untuk berbincang dan mengemukakan jalan penyelesaian mengenai isu tanah rizab Melayu.

Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) Aminuddin Yahaya berkata hasil konvensyen itu terutama status tanah berkenaan akan dibentangkan kepada kerajaan.

Beliau memberitahu The Malaysian Insight, Pembela mensasarkan kehadiran kira-kira 100 penyertaan daripada kalangan pihak berkepentingan dengan pembentangan dua kertas utama.

“Ada dua kertas akan dibentangkan, satu sejarah tanah Melayu dan analisis terkini kedudukan tanah rizab Melayu dan cara penyelesaian.

“Ada juga forum yang akan mendedahkan realiti di lapangan dalam konteks tanah Melayu, contohnya pencerobohan yang berlaku tanpa lesen, siapa yang terlibat dan sebagainya,” katanya.

Konvensyen itu juga tidak melibatkan orang awam kerana perbincangan di dalam konvensyen itu bertumpu kepada fakta untuk memberikan saranan kepada kerajaan.

“Kita bentang fakta sahaja, tiada emosi-emosi,” kata Aminuddin.

Difahamkan terdapat lebih 20 NGO akan menyertai konvensyen itu yang dijadualkan berlangsung esok di Wisma Sejarah, di Kuala Lumpur.

Aminuddin dijangka akan membentangkan ucaptama bertajuk “Perjuangan Mengembalikan Tanah Rizab Melayu Agenda Kita Bersama”.

Pengkaji Sejarah Tanah Melayu Zaharah Sulaiman pula akan membuat pembentangan bertajuk “Tanah Melayu: Sejarah dan Ancaman.”

Pengkaji Sejarah Tanah Melayu Zaharah Sulaiman. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Januari, 2022.

Presiden Pertubuhan Profesional Tanah Malaysia (Pertama) Ismail Omar pula akan membentangkan kertas “Tanah Rizab Melayu dan Wakaf” menyentuh kaedah menambah nilai tanah rizab Melayu.

Ismail yang juga profesor harta tanah Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) dan Zaharah masing-masing merupakan anggota Majlis Perundingan Melayu (MPM).

Ismail memberitahu The Malaysian Insight, resolusinya akan diserahkan kepada Raja-raja Melayu, kementerian, institusi pengajian tinggi, dan agensi gensi berkaitan tanah Melayu dan Bumiputera.

Antara yang dicadangkan adalah pembentukan pasukan khusus di bawah Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) untuk mengenalpasti data dan bilangan sebenar tanah rizab Melayu, katanya.

“Kita juga nak minta kerajaan berikan dana sekurang-kurangnya RM5 bilion supaya dapat tubuh bank tanah.

“Ini akan membantu tanah rizab Melayu yang nak terjual kepada orang asing atau pemilik nak majukan tanah kita boleh beri pinjaman untuk maksud pembangunan demi kebaikan Melayu.

“Kita nak kerajaan bentuk pasukan pakar supaya dapat bentuk pelan induk pembangunan tanah rizab Melayu di seluruh negara,” katanya.

Jelasnya, pelan itu akan dapat memperincikan butiran rancangan untuk memajukan tanah berkenaan.

“Kita juga nak kerajaan bentuk pasukan kaji akta berkaitan tanah rizab Melayu, enakmen tanah rizab Melayu dan wakaf dikaji semula supaya dapat beri ruang dan peluang orang Melayu bentuk masa depan mereka sendiri,” kata Ismail.

Selain itu, konvensyen tersebut katanya juga memohon kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi tujuan menyiasat dan mengkaji data berkaitan tanah rizab Melayu.

“Saya nak beritahu kami buat kerja dengan profesional, kita buat secara berilmu, kita mahu bawa resolusi.

“Kita nak beritahu kalau nak berjuang pasal tanah mesti ada ilmu, data. Bukan bawa bendera berdiri tepi jalan, apa bendanya macam itu kan?” katanya.

Penasihat MPM Haniff Omar pada 2018 mendedahkan tanah rizab Melayu di seluruh negara kini hanya berbaki kira-kira 12% daripada 50% yang dikehendaki raja-raja Melayu.

Bekas ketua polis negara itu menyatakan, antara alasan kehilangan tanah rizab Melayu disebabkan pengambilan tanah oleh kerajaan dan tidak diganti semula.

Pada 2013, keluasan tanah rizab Melayu di seluruh negara dianggarkan 4,113,182.44 hektar.

Waktu itu, tanah rizab Melayu berkeluasan kira-kira 31.19% daripada keluasan semenanjung Malaysia, iaitu 13,185,870.39 hektar.

Tanah rizab Melayu terletak di bawah bidang kuasa pentadbiran negeri melalui enakmen rizab Melayu masing-masing.

Tiada enakmen rizab Melayu di Pulau Pinang dan Melaka. – 7 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen