Mana peruntukan untuk sekolah dilanda banjir, tanya Teo


Noel Achariam

Bekas timbalan menteri pendidikan Teo Nie Ching melawat Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Karak di Pahang. Beliau mempersoalkan bila kerja-kerja pembaikan segera sekolah akan dilakukan.– Gambar ihsan Teo Nie Ching, 7 Januari, 2022.

BEKAS timbalan menteri pendidikan Teo Nie Ching hari ini mempersoalkan sama ada sekolah yang terjejas akibat banjir baru-baru ini bersedia untuk dibuka minggu depan memandangkan masih banyak daripadanya masih belum menerima peruntukan pembaikan yang dijanjikan Putrajaya.

Ahli Parlimen pembangkang itu berkata menurut Menteri Kanan Pendidikan (Radzi Jidin) bertarikh 15 Disember 2021 di Parlimen, peruntukan untuk penyelenggaraan sekolah bagi tahun 2021 masih belum diagihkan sepenuhnya.

Teo berkata terdapat baki RM11.68 juta untuk semua sekolah rendah, menengah awam serta sekolah Cina dan Tamil.

“Soalan saya ialah mengapa kerja-kerja pembaikan dan pemulihan begitu lambat? Sudah lebih dua minggu sejak banjir dan kita tidak mendengar sebarang peruntukan diumumkan berkuat kuasa serta-merta untuk disalurkan kepada sekolah-sekolah ini,” kata Teo dalam satu kenyataan. 

Beliau juga berkata Kementerian Pendidikan menerima RM900 juta untuk penyelenggaraan sekolah di bawah Belanjawan 2022.

“Mengapa wang itu tidak digunakan dengan segera untuk membantu sekolah terjejas teruk supaya pelajar dapat kembali ke sekolah secepat mungkin?

“Tiga minggu telah berlalu, dan komuniti sekolah termasuk guru dan ibu bapa memerlukan lebih banyak inisiatif proaktif daripada KPM.”

Pada Selasa, KPM berkata sebanyak 113 sekolah yang dilanda banjir atau dijadikan pusat pemindahan (PPS) belum bersedia untuk membuka kelas buat masa ini.

KPM berkata 18 sekolah telah ditenggelami air dan 87 dijadikan pusat pemindahan manakala lapan telah dibaiki selepas mengalami kerosakan banjir.

“KPM akan terus memantau dan mengemaskini setiap hari Rabu senarai institusi pendidikan yang dilanda banjir atau dijadikan PPS.

“Perubahan kepada senarai yang dikeluarkan oleh KPM akan tertakluk kepada keadaan banjir semasa,” kata kementerian itu.

Teo berkata, menurut kenyataan KPM bertarikh 3 Januari lalu, sebanyak lapan sekolah di Pahang terjejas teruk akibat banjir dan belum bersedia untuk beroperasi.

“Saya menghargai bahawa menteri telah terlibat dalam proses pembersihan di SMK Bentong dan beberapa sekolah lain tetapi beliau jelas mempunyai peranan yang lebih penting.

“Seperti memastikan semua kerja pembaikan dan pemulihan dijalankan tanpa sebarang kelewatan.

“Ketiadaan tindakan segera walaupun selepas berada di tempat kejadian selepas banjir menunjukkan kurangnya keikhlasan untuk kerja-kerja pemulihan secepat mungkin,” kata Teo.

Ahli Parlimen DAP itu juga menambah bahawa keselamatan, keselamatan dan kebersihan adalah amat penting dan aspek ini tidak boleh dikompromi dalam persekitaran sekolah.

“Tindakan segera diperlukan daripada menteri untuk memastikan sekolah dipulihkan kepada keadaan berfungsi, selamat untuk pelajar dan guru.”

Semalam Teo turut melawat Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Karak di Pahang bersama Adun Sabai, Kamache Doray Rajoo.

“SJKT Karak antara sekolah yang terjejas teruk, banjir memberi kesan teruk kepada infrastruktur, kemudahan dan perabot sekolah.

“Pagar sekolah rosak, peralatan makmal musnah, peti ais, rak buku dan kabinet perlu diganti. Namun, tiada tanda bila pembaikan dan penggantian ini akan dilakukan.

“Menurut Kamache, daerah Karak telah merekodkan satu kematian akibat leptospirosis.”

Tambah Teo pembasmian kuman perlu dilakukan segera sebelum pelajar kembali ke sekolah.

Beliau berkata DAP Johor menyumbang RM5,000 kepada sekolah itu supaya kerja-kerja pembaikan dan pemulihan dapat dijalankan segera sementara menunggu peruntukan daripada kementerian.

“Bagaimanapun, SJKT Karak bukanlah satu-satunya sekolah yang masih tidak sesuai dan tidak dapat dibuka semula dalam masa terdekat.” – 7 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen