KERAJAAN Perancis mempertimbangkan untuk membatalkan penyertaan Rali Dakar ketika pendakwa raya menyiasat letupan di Arab Saudi yang menyasarkan sebuah kereta dan mencederakan pemandunya, kata Menteri Luar Jean-Yves Le Drian pada Jumaat.
“Kami fikir mungkin lebih baik untuk tinggalkan acara sukan ini… persoalannya masih terbuka,” kata Le Drian kepada televisyen BFM, sambil menambah bahawa berkemungkinan terdapat serangan pengganas terhadap Dakar.
Pendakwa raya Perancis berkata mereka telah membuka siasatan keganasan berhubung letupan 30 Disember di Jeddah, yang menyebabkan pemandu Philippe Boutron berusia 61 tahun memerlukan pembedahan untuk kecederaan kaki yang serius sebelum beliau kembali ke Perancis.
Anak lelaki Boutron pada Khamis berkata bapanya telah koma dan kedua-dua kaki masih cedera teruk.
Pihak berkuasa Saudi dan penganjur perlumbaan telah menyatakan tiada jenayah terhadap letupan itu, namun Perancis telah memberi amaran kepada rakyatnya di Arab Saudi untuk berwaspada dengan risiko keselamatan susulan letupan itu.
“Kita tidak menolak kemungkinan perbuatan jenayah,” kata kementerian itu di laman webnya. – AFP, 7 Januari, 2022.
Komen