20 terperangkap dalam runtuhan bangunan di China 


Petugas keselamatan menjalankan kerja mencari dan menyelamat mangsa di lokasi kejadian.– Gambar EPA, 7 Januari, 2022.

SEKURANG-kurangnya 20 orang terperangkap selepas letupan pada Jumaat menyebabkan sebuah bangunan menempatkan kantin kakitangan kerajaan runtuh di bandar Chongqing di barat daya China, menurut media kerajaan.

Letupan disyaki berpunca daripada kebocoran gas di sebuah kantin di bangunan jawatankuasa kejiranan, lapor People’s Daily.

Letupan berkenaan menyebabkan bangunan itu runtuh dan memerangkap orang di dalamnya.

Pihak berkuasa telah menghantar kira-kira 260 anggota dan 50 kenderaan kecemasan ke lokasi itu, lapor stesen televisyen CCTV, sambil menambah punca letupan sedang disiasat.

Sebuah rakaman video yang disiarkan di halaman web rasmi jabatan bomba China menunjukkan petugas berpakaian oren memanjat runtuhan.

Agensi berita rasmi Xinhua berkata beberapa orang yang cedera telah dibawa ke hospital. – AFP, 7 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen