8 rakyat Palestin maut nahas di Tebing Barat


LAPAN rakyat Palestin maut pada Khamis apabila van mereka naiki bertembung dengan sebuah lori simen di Tebing Barat yang diduduki, kata media rasmi Palestin.

Kedua-dua kenderaan itu bertembung antara satu sama lain di persimpangan Laluan 90, yang menyusuri Lembah Jordan dan berada di bawah kawalan keselamatan Israel berhampiran perkampungan Fasayil di utara Tebing Barat, menurut agensi berita Wafa.

Seorang pegawai perubatan dengan perkhidmatan penyelamat Israel Magen David Adom berkata dalam satu kenyataan yang kejadian di lokasi nahas amat mengerikan.

“Kami melihat sebuah lori dan kenderaan persendirian remuk di tepi jalan,” katanya.

Mangsa tidak dikenal pasti secara rasmi tetapi media tempatan melaporkan mereka adalah remaja berusia antara 14 hingga 17 tahun.

AFP tidak dapat mengesahkan perkara ini.

Wafa berkata Presiden Palestin Mahmud Abbas mengisytiharkan hari berkabung pada Jumaat di seluruh wilayah Palestin sebagai penghormatan kepada mangsa.

Pakar perubatan mengisytiharkan tujuh orang maut di tempat kejadian, dan Wafa kemudian melaporkan seorang lagi mangsa.

Tiga mangsa yang cedera dipindahkan ke hospital Israel menaiki helikopter.

Menteri Pertahanan Israel Benny Gantz mengeluarkan kenyataan simpati yang diterbitkan dalam bahasa Arab dan Ibrani.

“Saya ingin menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Palestin yang kehilangan lapan orang tersayang hari ini” dalam nahas itu, katanya.

Negara jiran Jordan turut mengucapkan takziah.

Polis Palestin memberitahu AFP mangsa adalah pekerja dari bandar Aqraba, berhampiran Nablus. – AFP, 7 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen