DIHANTUI krisis tahun lalu, India sedang bersiap sedia untuk menghadapi gelombang Covid-19, dengan pihak berkuasa beberapa bandar raya mula melaksanakan sekatan dalam usaha untuk mengawal jangkitan.
Bilangan kes masih belum menyamai angka besar yang dilihat pada musim bunga lalu, apabila beribu-ribu orang mati setiap hari dan kota suci Hindu Varanasi sepanjang masa membuat upacara besar-besaran membakar mayat mangsa virus.
Bagaimanapun jangkitan harian hampir tiga kali ganda dalam tempoh dua minggu ini menjadi lebih 90,000, lonjakan yang didorong oleh varian Omicron yang membimbangkan pakar bakal menyesakkan hospital negara itu.
Perintah berkurung waktu malam telah dikenakan di Delhi, di mana sekatan pergerakan hujung minggu akan bermula pada petang Jumaat, dengan semua pekerja sektor bukan penting diminta duduk di rumah.
Hab teknologi Bangalore juga telah mengisytiharkan perintah berkurung hujung minggu, manakala pusat kewangan yang luas Mumbai memperkenalkan perintah berkurung waktu malam.
“Bahkan peratusan kecil daripada sejumlah besar kes diterjemahkan kepada jumlah yang besar secara mutlak,” kata Gautam Menon, profesor di Universiti Ashoka India yang telah mengusahakan pemodelan jangkitan Covid.
“Ini berpotensi menekan sistem penjagaan kesihatan ke tahap yang setanding atau lebih teruk berbanding gelombang kedua.”
Doktor dan jururawat setakat ini optimis, dengan lebih sedikit kes teruk di kalangan pesakit yang dimasukkan ke hospital.
“Tahun lepas, kami tidak tahu apa sebenarnya yang kami hadapi. Saya fikir sekarang, secara mental, ia lebih baik sedikit,” kata seorang pekerja barisan hadapan di hospital Delhi.
Suresh Kumar, pengarah Hospital Lok Nayak Jai Prakash di ibu negara, berkata peningkatan itu “bukan sebab untuk panik”.
Pentadbiran Perdana Menteri Narendra Modi setakat ini mengelak daripada sekatan drastik di seluruh negara yang diperkenalkan semasa pandemik tahun lalu.
Namun pegawai tempatan melihat jumlah kes yang meningkat secara mendadak dan beberapa pusat bandar terbesar di India telah bertindak untuk mengenakan sekatan semula.
Penutupan akibat virus sebelum ini adalah tamparan hebat kepada ekonomi India dan ramai bimbang tentang kesan kewangan sekatan baharu.
“Saya akan bekerja hanya selama 15 hari bulan ini,” kata penduduk Delhi, Tumul Srivastava, yang pejabatnya tertakluk kepada had 50 peratus pekerja yang dikenakan oleh bandar itu.
“Gaji saya mungkin akan dipotong. Semua ini menambahkan keresahan saya.” – AFP, 7 Januari, 2022.
Komen