SPRM harus bebas dan responsif isu rakyat


SEKALIPUN Lembaga Perundingan dan Pencegahan Rasuah (LPPR) telah tampil memperjelaskan kemelut kepimpinan tertinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), ia sebenarnya mendedahkan jawapan yang mengundang lebih banyak persoalan kepada rakyat. 

Kelemahan siasatan LPPR telah menimbulkan persepsi bahawa SPRM gagal berfungsi secara bebas.

Oleh itu, Rasuah Busters bersama rakyat mendesak agar badan tersebut lebih telus dalam memperincikan dan melanjutkan siasatan terhadap kenyataannya berkaitan isu membabitkan Ketua Pesuruhjayanya Azam Baki.

Rasuah Busters menegaskan bahawa kontroversi peribadi tersebut langsung tidak menyumbang kepada pemulihan institusi yang reputasinya sedang begitu teruk terjejas akibat salah laku para pegawainya pada waktu ini.

Antara enam tuntutan Rasuah Busters pada September lalu adalah SPRM harus bertindak sebagai institusi berintegiriti yang bebas dan telus. 

Dalam rangka menuju ke arah ini SPRM sendiri perlu mempamerkan kredibiliti yang tinggi dalam membuktikan tadbir urus internal yang tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak yang mengganggu gugat sistem keadilan.

Rakyat ingin melihat wibawa moral SPRM sebagai badan yang berakauntabiliti dan boleh diharap bertindak segera untuk mencegah, mendakwa dan mendidik masyarakat. 

Sebarang risiko yang menjadi penghalang kepada usaha mengembalikan integriti SPRM sebagai badan yang bebas wajar dikekang.

Justeru Rasuah Busters mengulangi bahawa Azam Baki harus bertanggungjawab terhadap institusi ini dengan berehat bagi membuka ruang agar institusi tersebut mampu fokus kepada usaha pemulihan.

Usaha restorasi maruah dan kebenaran mana-mana individu atau institusi tetap boleh diteruskan dengan laporan dibuat kepada pihak berkuasa melalui saluran undang-undang yang sedia ada.

Perdana Menteri dan Parlimen turut bertanggungjawab mengembalikan kepercayaan rakyat kepada SPRM. Manakala rakyat sebagai kumpulan pendesak perlu sedar bahawa sebarang slanderous statements terhadap insitusi awam boleh memprejudiskan sebarang tindakan untuk membawa pesalah kemuka pengadilan.

Maka setiap dakwaan dan tindakan memerlukan verifikasi serta bukti yang tepat

Rasuah Busters tidak akan bertoleransi dengan tingkah laku rasuah dan salah guna kedudukan yang mewujudkan apa jua potensi konflik kepentingan dan menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap badan yang seharusnya melindungi kepentingan rakyat dan pemegang taruh. 

SPRM harus bebas, sebagai badan profesional yang dihormati. Isu peribadi tidak wajar mengatasi kepentingan ini.

Konflik ini tidak harus ditangani secara emosi. Kuasa di tangan kita adalah amanah besar agar seluruh ekosistem negara ini ditadbir secara jujur dan tulus. 

Kestabilan sistem inilah yang ingin kita pulih dan sejajarkan bersama perjuangan membangun budaya moral bersama Rasuah Busters agar negara ini bersih daripada belenggu rasuah dan kekal harmoni.

* Nurhayati Nordin merupakan ketua sekretariat Rasuah Busters.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen