Kurang peralatan sesuai punca lambat selamat mangsa banjir, kata polis


Alfian Z.M. Tahir

Hujan lebat melanda Balai Polis Sri Muda di Shah Alam pada bulan lepas menyebabkan tingkat satu balai tersebut terjejas teruk, kaunter meja depan dan perabot lain turut rosak. – Gambar The Malaysian Insight, 9 Januari, 2022.

KEKURANGAN peralatan yang sesuai menyebabkan misi menyelamat di Taman Sri Muda, Shah Alam tertangguh semasa banjir baru-baru ini, kata Ketua Polis Selangor Arjunaidi Mohamed.

Arjunaidi berkata, air banjir naik deras di Seksyen 25 dan laluan menyelamat dipenuhi kereta yang ditenggelami air menyebabkan bot sukar memasuki kawasan itu.

Ketua polis Selangor itu memberi respons kepada gerak balas perlahan polis ketika banjir melanda pada 19 Disember lepas menyebabkan ribuan mangsa terkandas menunggu bantuan tiba.

“Masalahnya air naik dengan cepat dan polis tidak ada peralatan yang cukup.

“Satu perkara lagi yang perlu difahami, keadaan di Sri Muda berbeza sebab ada banyak kereta tenggelam. Oleh itu bot penyelamat tidak dapat masuk kawasan terjejas.

“Bot yang kami ada tidak sesuai digunakan dalam situasi tersebut,” katanya.

Arjunaidi ditanya sama ada polis sedang sibuk mengemas semula balai polis yang turut terjejas teruk akibat banjir menyebabkan kelewatan menghantar pasukan penyelamat.

“Setiap anggota polis di Shah Alam termasuk dari Sri Muda bertungkus-lumus tolong mangsa dan pada masa sama cuba selamatkan apa yang kami mampu di balai,” katanya.

Arjunaidi juga berkata kawasan itu terlampau sesak.

“Beribu-ribu orang kehilangan tempat tinggal dan kawasan itu ada terlalu ramai penduduk. Jadi ada beberapa mangsa dibawa keluar lewat berbanding yang lain.”

Banjir yang melanda beberapa bahagian di Selangor dan Pahang hujung tahun lepas bukan sahaja menjejaskan kediaman dan pusat perlindungan, malah turut menjejaskan balai polis.

Imej balai polis di Shah Alam dan Karak ditenggelami banjir tular di media sosial sejak minggu lepas ketika misi menyelamat mangsa sedang berjalan.

Hujan lebat melanda Balai Polis Sri Muda di Shah Alam menyebabkan tingkat satu balai tersebut terjejas teruk, kaunter meja depan dan perabot lain turut rosak.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Baharudin Mat Taib berkata anggota polis yang bertugas ketika kejadian berjaya menyelamatkan barangan penting seperti peranti elektronik termasuk komputer.

“Kami sudah ganti perabot melalui sumbangan daripada badan korporat. Meja depan telah ditenggelami banjir tetapi pegawai berjaya selamatkan peranti yang penting,” kata Baharudin.

“Senjata berada di tingkat dua, jadi senjata selamat. Sekarang stesen itu beroperasi sepenuhnya.”

Beribu-ribu penduduk di Sri Muda kehilangan tempat tinggal akibat banjir, beberapa kematian turut dilaporkan di situ.

Banjir yang sangat teruk menyebabkan beberapa penduduk terkandas berhari-hari di dalam rumah sementara menunggu pasukan penyelamat.

Ketua Polis Selangor Arjunaidi Mohamed berkata keadaan di Sri Muda berbeza sebab ada banyak kereta tenggelam. Oleh itu bot penyelamat tidak dapat masuk kawasan terjejas.– Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Januari, 2022.

Balai Polis Pelabuhan Klang, Balai Polis Batu 14 dan Batu 18 di Hulu Langat, semuanya di Selangor turut dilanda banjir teruk.

Di Pelabuhan Klang, bilik soal siasat, gudang senjata dan almari yang mengandungi barang-barang suspek turut terjejas.

Ketua Polis Klang Selatan Cha Hoong Fong bagaimanapun berkata kesemua barangan termasuk senjata berjaya diselamatkan.

“Cuma perabot perlu diganti. Kerusi dan meja di bilik soal siasat tidak boleh digunakan lagi, pejabat polis pun perlu dibaiki.”

“Pegawai sudah bersihkan balai dan nasib baik senjata api dan barang-barang tahanan semuanya tidak rosak,” kata Cha.

Hujan lebat dua minggu lalu menyebabkan banjir meluas di seluruh semenanjung, menyebabkan puuhan ribu orang kehilangan tempat tinggal selain menyebabkan sekurang-kurangnya 50 maut. Dua masih hilang.

Selangor antara negeri yang paling awal dilanda banjir, dan ribuan mangsa terpaksa dipindahkan. Banjir turut dilaporkan berlaku di Pahang, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Malaysia diramalkan akan menghadapi fasa ketiga fenomena air pasang besar dari 2 hingga 5 Januari dan dari 18 hingga 21 Januari diikuti 31 Januari hingga 3 Februari.

Hujan lebat dua minggu lalu menyebabkan banjir meluas di seluruh semenanjung, menyebabkan puuhan ribu orang kehilangan tempat tinggal selain menyebabkan sekurang-kurangnya 50 maut. Dua orang masih hilang. – Gambar Facebook, 9 Januari, 2022.

Pengarah Bahagian Pengurusan Sumber Air dan Hidrologi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Azmi Ibrahim berkata paras air laut akan berada pada paras tertinggi, yang boleh menyebabkan banjir semasa air pasang besar.

JPS sebelum ini melaporkan fenomena air pasang besar yang berlaku dalam tempoh empat hari bermula hari ini hingga Rabu melibatkan kawasan berisiko tinggi seperti Kuala Muda di Kedah, Bagan Datuk (Perak), Klang, Kuala Langat, Sabak Bernam dan Kuala Selangor di Selangor, serta Batu Pahat dan Pontian di Johor.

Sementara itu, Ketua Polis Pahang Ramli Mohamed Yoosuf memberitahu The Malaysian Insight walaupun cuaca buruk di negeri itu, hanya balai polis Karak mengalami kerosakan.

Beliau berkata pembaikan sedang dijalankan termasuk membaiki sambungan internet stesen itu.

“Perabot semua hilang, pintu pagar hadapan, papan tanda, saliran sekitar stesen semuanya rosak teruk.

“Kita juga perlu baiki sambungan internet, pendawaian elektrik dan telefon juga,” katanya.

Dilaporkan semalam di Pahang, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri melaporkan peningkatan jumlah mangsa banjir pada tengah hari iaitu seramai 2,816 orang di 48 pusat pemindahan di sembilan daerah daripada 2,564 orang pagi tadi.

Kuantan mencatatkan jumlah pemindahan tertinggi iaitu 843 orang, Temerloh (691) dan Rompin (443) manakala daerah lain yang terjejas ialah Lipis, Raub, Bera, Jerantut, Maran dan Pekan. – 9 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen