2 wartawan Haiti mati dibunuh kumpulan penjenayah


DUA wartawan di Haiti dibunuh pada Khamis oleh geng yang beroperasi di pinggir ibu kota Port-au-Prince, menurut stesen radio di mana seorang daripada mangsa bekerja.

Wilguens Louissaint dan Amady John Wesley terbunuh dalam kejadian tembakan, Radio Ecoute FM memberitahu AFP. 

Seorang lagi wartawan yang bersama mereka pada kejadian berjaya menyelamatkan diri.

Pembunuhan itu berlaku ketika kumpulan penjenayah di Haiti cuba meluaskan pengaruh mereka ke luar kawasan kejiranan Port-au-Prince yang lebih miskin.

Kawasan Laboule 12, di mana tiga wartawan membuat liputan pada Khamis, menjadi subjek pertempuran sengit antara beberapa kumpulan bersenjata yang cuba menguasainya.

Laluan ke kawasan itu adalah satu-satunya alternatif untuk sampai ke bahagian selatan negara selain jalan utama, yang dikawal sejak Jun oleh salah satu kumpulan paling berkuasa di Haiti.

Enam bulan lalu, bekas presiden Jovenel Moise dibunuh di kediaman persendiriannya di Port-au-Prince, menjerumuskan krisis politik Haiti yang semakin mendalam dan memburukkan lagi situasi keselamatan yang terpaksa dilalui penduduk setiap hari.

Haiti merekodkan sekurang-kurangnya 950 penculikan pada 2021, menurut Pusat Analisis dan Penyelidikan Hak Asasi Manusia, yang berpangkalan di Port-au-Prince.

Kekurangan kelengkapan dan berdepan kumpulan penjenayah mempunyai senjata lebih canggih, polis Haiti tiada sebarang usaha untuk mengadakan operasi besar-besaran terhadap kumpulan itu sejak Mac 2021. – AFP, 7 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen