PERBICARAAN maraton suspek serangan Paris pada November 2015 disambung semula Khamis selepas ketidakpastian mengenai kemunculan suspek utama ditarik balik selepas keputusan ujian negatif Covid-19.
Salah Abdeslam diuji positif pada akhir Disember, diisytiharkan sihat untuk kembali ke mahkamah selepas tidak hadir sejak 25 November.
Beliau bersedia untuk disoal siasat pada Khamis dan Jumaat depan, saat ditunggu-tunggu oleh keluarga 130 orang yang terbunuh pada malam 13 November 2015.
Dalam pada itu, terdapat pertikaian tegang antara hakim dan defendan lain.
Osama Krayem, seorang warga Sweden berusia 29 tahun, memaklumkan mahkamah melalui peguamnya yang beliau akan berdiam diri “sehingga tamat prosiding”, dan juga enggan menghadiri perbicaraan itu, menyifatkannya sebagai “satu ilusi”.
Tetapi apabila tiba gilirannya pada Khamis untuk disoal mengenai peranannya dalam siri serangan jihad ke atas bar, restoran, dewan konsert Bataclan dan stadium nasional, ketua hakim Jean-Louis Peries berkata beliau akan diminta untuk hadir.
“Saya tidak mempunyai pilihan selain menggunakan paksaan untuk membuat beliau hadir,” katanya.
Tetapi ia ternyata tidak perlu, kerana Krayem hadir tanpa paksaan, dan duduk di sebelah Abdeslam.
“Adalah baik anda datang dengan rela hati,” komen hakim.
Abdeslam, mempunyai dwi kerakyatan Perancis-Maghribi, ditangkap di Brussels selepas membuang jaket berisi bom dan melarikan diri dari ibu kota Perancis dalam keadaan huru-hara selepas pertumpahan darah.
Serangan di Bataclan menyebabkan 90 mangsa kebanyakannya berusia 20-an dan 30-an maut ketika menonton konsert rock.
Defendan bersama Abdeslam menjawab pertuduhan daripada menyediakan sokongan logistik hingga merancang serangan, serta membekalkan senjata.
Selepas empat bulan prosiding, perbicaraan kini memasuki fasa baharu dengan 14 suspek yang hadir akan disoal siasat.
Enam yang lain sedang dibicarakan secara in absentia, walaupun lima daripada mereka dipercayai mati, kebanyakannya dalam serangan udara di Syria.
Perbicaraan, yang terbesar dalam sejarah Perancis moden, akan berlangsung sehingga Mei. – AFP, 7 Januari, 2022.
Komen