SEBUAH kenderaan penuh berisi mayat ditemui pada Khamis di luar dewan perbandaran di utara negeri Mexico yang dicengkam pergaduhan antara kartel dadah yang bersaing, kata pihak berkuasa.
Mayat itu ditemui dalam sebuah SUV di dataran utama bandar Zacatecas, kata gabenor negeri David Monreal dalam mesej melalui media sosial.
Mayat itu menunjukkan tanda dipukul dan cedera, katanya.
Monreal tidak menyatakan berapa banyak mayat berada di dalam SUV itu, tetapi media Mexico melaporkan terdapat 10 mayat.
Pihak berkuasa sedang menyiasat bagaimana kenderaan itu diletakkan di tengah-tengah bandar, ibu negeri Zacatecas, kata Monreal.
Kartel Sinaloa dan Jalisco Generasi Baru diketahui saling bersaing di kawasan itu untuk mengawal laluan penyeludupan dadah ke Amerika Syarikat, kata pegawai dan pakar.
Zacatecas menyaksikan peningkatan keganasan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Pada November, enam mayat ditemui tergantung di jambatan dan pokok di bandar Fresnillo, mendorong kerajaan Mexico menghantar bantuan keselamatan.
Di seluruh Mexico, lebih 300,000 orang terbunuh dalam gelombang pertumpahan darah sejak kerajaan mengerahkan tentera memerangi kartel dadah pada 2006. – AFP, 7 Januari, 2022.
Komen