NGO gesa badan bebas siasat Azam Baki


Alfian Z.M. Tahir Raevathi Supramaniam

Tindakan LPPPR membersihkan nama Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berhubung isu pemilikan saham tidak wajar, kata aktivis.– Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Januari, 2022.

KETUA Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki perlu disiasat oleh sebuah badan bebas untuk membersihkan namanya daripada sebarang salah laku, sekaligus memulihkan imej agensi antirasuah, kata aktivis.

Mereka berkata tindakan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPPR) yang memberi penjelasan berhubung isu pemilikan saham Azam menerusi sidang media dua hari lalu tidak wajar, malah mengundang lebih banyak persoalan berkait integriti lembaga itu.

“Membersihkan nama Azam hanya selepas satu mesyuarat, kemudian tidak mendedahkan apakah langkah seterusnya untuk membersihkan namanya daripada semua isu berkait konflik kepentingan dan kepentingan kewangan sangat pelik,” kata Pengarah Eksekutif Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) Cynthia Gabriel kepada The Malaysian Insight.

“Penjelasan bahawa adik Azam menggunakan akaunnya mencetus persoalan undang-undang, berkenaan pelanggaran peraturan pemunya benefisial dan Seksyen 25 Akta Perindustrian Sekuriti Depositori Pusat 1991 (Sicda).

Seksyen 25 Sicda menetapkan setiap akaun sekuriti yang dibuka dengan depositori pusat mestilah atas nama pemilik benefisial sekuriti yang didepositkan atau atas nama penama yang diberi kuasa.

Apa yang membimbangkan kata Cynthia, Azam melanggar peraturan-peraturan yang sepatutnya di bawah tanggungjawab SPRM untuk menguatkuasakannya.

Tambahnya, hanya sebuah panel bebas yang diketuai Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob boleh membersihkan nama Azam daripada tuduhan salah laku.

Pengarah Eksekutif Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) Cynthia Gabriel. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Januari, 2022.

LPPR pada sidang media petang Rabu lalu berkata ia berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan Azam pada 24 November lalu berhubung pembelian saham syarikat korporat yang telah mencetus presepsi negatif terhadap SPRM.

Azam menjelaskan pembelian saham tersebut dibuat oleh adiknya Nasir Baki pada 2015 menggunakan akaun dagangannya, kata Pengerusi LPPR Abu Zahar Ujang. Pembelian saham terbabit dibuat melalui pasaran terbuka, yang kemudian dipindahkan semula kepada Nasir pada tahun yang sama, katanya.

Menurut Abu Zahar, LPPR mendapati tiada sebarang perlakuan jenayah atau konflik kepentingan dalam pembelian 2.15 juta saham dalam Excel Force MSC Bhd dan 1.93 juta saham dalam Gets Global Bhd pada 2015, serta 1.02 juta lagi pada 2016.

Isu transaksi jual beli saham bernilai jutaan ringgit itu dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Sungai Buloh R Sivarasa di Parlimen pada 14 Disember lalu.

Sidang media pada Rabu itu pertama kali diadakan selepas ahli Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) SPRM Edmund Terence Gomez meletak jawatan pada 27 Disember lalu.

Pakar ekonomi itu meletak jawatan sebagai membantah sikap tidak peduli Pengerusi PPPR Borhan Dollah dan Abu Zahar mengenai dakwaan integriti serta kredibiliti SPRM dan ketua pesuruhjayanya.

Gomez menulis tiga surat berasingan masing-masing kepada Borhan dan Abu Zahar dalam tempoh sebulan sejak pertengahan November meminta panel penasihat SPRM membincangkan isu berkenaan.

Kerajaan tidak ambil serius isu rasuah

Sementara itu, Syarifah Munirah Alatas dari Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia (Gerak) berkata, kontroversi yang melingkari SPRM memperlihatkan seolah-olah kerajaan tidak memandang serius isu rasuah.

“Hakikat bahawa lembaga penasihat membersihkan nama Azam Baki tanpa siasatan bebas sangat tidak masuk akal. Membersihkan namanya hanya berdasarkan penjelasan mencerminkan tiada ketelusan, malah mengundang lebih banyak persoalan.

“Secara tidak langsung ia memperlihatkan bahawa SPRM memandang ringan isu rasuah, tidak serius menjalankan tugasnya untuk membanteras rasuah,” katanya.

Meskipun Azam mengetuai agensi antirasuah, namun itu tidak bermakna setiap tindakannya tidak boleh dipersoalkan.

“Tidak mungkin Azam beranggapan beliau boleh menipu rakyat kerana peranannya sebagai ketua pesuruhjaya SPRM bermakna beliau tidak boleh disiasat.

“Beliau mengetuai sebuah suruhanjaya yang bertujuan untuk ‘menyiasat sebarang kesalahan yang disyaki’, atau ‘cubaan untuk melakukan kesalahan’. Tidak kiralah jika yang disyaki itu adalah Azam atau penjawat awam berpangkat rendah, atau wujud percanggahan dalam SPRM sendiri,” kata Syarifah. – 7 Januari, 2022.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen