Saintis antarabangsa temui bukti baharu pembentukan bintang


Hasil penyelidikan itu menggunakan teleskop radio terbesar China dikenali sebagai ‘Five hundred meter Aperture Spherical Telescope’ (FAST) yang siap dibina pada 2016. – Gambar AFP, 6 Januari, 2022.

SEKUMPULAN saintis antarabangsa diketuai ahli astronomi China, berjaya menemukan bukti baharu yang mencabar teori mengenai pembentukan bintang.

Hasil penyelidikan menggunakan teleskop radio terbesar China dikenali sebagai ‘Five hundred meter Aperture Spherical Telescope’ (FAST) yang siap dibina pada 2016 disifatkan sebagai penemuan saintifik bersejarah dan diterbitkan di muka depan jurnal akademik antarabangsa ‘Nature’, hari ini. 

Profesor dari Universiti Illinois Amerika Syarikat (AS) Richard Crutcher berkata, penemuan yang menggemparkan itu didorong oleh kehebatan individu dan kemampuan kejuruteraan FAST.

Crutcher yang juga saintis terkemuka dalam bidang pengukuran medan magnet antara bintang berkata bahawa, penyelidikan itu penting bagi memahami lebih lanjut tentang astrofizik pembentukan bintang.

Ia juga mencerminkan kepentingan FAST dalam penemuan penting berkaitan astrofizik yang masih tiada penghujung, katanya.

Para saintis mempercayai secara teori bahawa medan magnet mampu mempengaruhi pembentukan bintang susulan terdapatnya bahan antara bintang yang menolak daya graviti.

Namun, kajian terbaharu mendapati sebaliknya dengan menyatakan bahawa adalah sangat sukar dan kompleks untuk mengesan interaksi antara medan magnet dengan jirim.

Lebih 120 kertas penyelidikan berjaya diterbitkan dengan bantuan data yang dikumpul FAST, dan empat daripadanya turut diterbitkan dalam ‘Nature’. – Bernama, 6 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen