POLIS Pahang menumpaskan sindiket pengedaran dadah jenis syabu dan heroin selepas menangkap empat individu termasuk pasangan suami isteri serta merampas dadah dianggarkan 6.38 kilogram bernilai RM402,411 di Temerloh, dekat Kuantan pada Ahad dan Isnin lepas.
Ketua Polis Pahang Ramli Mohamed Yoosuf berkata dalam serbuan pertama hasil maklumat awam serta risikan, polis menahan seorang lelaki dan seorang wanita di dalam sebuah bilik sewa di Taman Dahlia, Temerloh, pada pukul 8 malam.
“Ketika serbuan, polis menemukan sembilan peket plastik lutsinar berisi dadah disyaki heroin seberat 60.67 gram dan enam peket plastik lutsinar disyaki syabu seberat 7.76 gram.
“Hasil ujian saringan air kencing terhadap kedua-dua suspek mendapati mereka positif dadah jenis morfin dan masing-masing mempunyai rekod lampau berkaitan dadah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang di Kuantan hari ini.
Beliau berkata susulan tangkapan itu, pada keesokannya polis menahan sepasang suami isteri berusia 35 dan 36 tahun di hadapan rumah yang sama sekitar tengah malam, selepas menemukan dua peket plastik lutsinar berisi dadah dipercayai heroin seberat 41.01 gram serta satu plastik lutsinar mengandungi syabu seberat 25.85 gram.
Ramli berkata pasangan suami isteri itu didapati mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah, namun ujian saringan air kencing terhadap kedua-dua suspek didapati negatif.
Beliau berkata salah seorang suspek lelaki telah membawa polis ke sebuah rumah di Jalan Maran Batu 6, Temerloh dekat sini dan polis kemudiannya menemukan dadah jenis heroin, syabu serta erimin yang disorokkan dalam pelbagai beg dan kotak, yang dibungkus dengan surat khabar.
Katanya polis turut merampas pelbagai barang, antaranya 53 jenis barang kemas pelbagai bentuk, wang tunai RM24,000, selaras senapang patah tanpa peluru dan sebuah kereta jenis Toyota Hilux, dengan nilai rampasan dadah serta harta keseluruhannya dianggar lebih RM792,058.
Katanya sindiket berkenaan dipercayai sudah beroperasi lebih setahun dan kesemua suspek yang berumur antara 35 dan 41 tahun kini direman tujuh hari bermula Isnin bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sementara itu Ramli berkata sepanjang tahun lepas pihaknya menahan 10,471 individu disyaki penagih serta pengedar dadah di Pahang, dan daripada jumlah berkenaan 71 orang telah dikenakan tindakan mengikut Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK).
Katanya dalam tempoh yang sama rampasan dadah bernilai RM3.19 juta direkodkan. – Bernama, 6 Januari, 2022.
Komen