KERETA kebal Israel melepaskan tembakan di sepanjang sempadan Syria di Bukit Golan selepas mengesan kedudukan suspek berhampiran tenteranya.
Menurut kenyataan ringkas tentera Zionis itu, tenteranya mengenal pasti suspek yang hampir dengan kedudukan tentera dan melepaskan tembakan daripada kereta kebal ke arah mereka.
“Suspek kemudian berpindah ke wilayah Syria,” kata kenyataan itu.
Dalam Perang Enam Hari 1967, Israel merampas sebahagian Bukit Golan yang strategik – bersempadan dengan Lubnan.
Agensi berita rasmi Syria, SANA berkata tentera Israel juga menyerang dengan peluru kereta kebal di hutan perkampungan Al-Hurriyah di wilayah Quneitra Syria, yang bersempadan dengan bahagian yang diduduki Israel di Bukit Golan.
Menurut SANA, helikopter Israel dan pesawat peninjau turut terbang di atas kawasan itu.
Syrian Observatory for Human Rights, pemantau yang berpangkalan di UK berkata kebakaran berlaku di hutan berhampiran kampung itu dan ada helikopter Israel, tetapi tidak menyebut mangsa.
Israel menganggap kawasan bahagian selatan Syria ini sebagai barisan hadapan kedua Hizbullah, seteru ketat Israel iaitu, Iran.
Sejak 2011 dan meletusnya perang saudara Syria, Israel melakukan ratusan serangan udara ke atas wilayah Syria, menyasarkan kedudukan kerajaan serta tentera sekutu yang disokong Iran dan pejuang Hizbullah.
Israel berkata ia cuba menghalang Iran, satu daripada sekutu utama Damsyik dalam konflik sivil selama sedekad itu, daripada mendapat tapak tentera tetap. – AFP, 6 Januari, 2022.
Komen