Selamatkan segera pengusaha kantin kita


SAYA menerima banyak keluhan dan maklum balas daripada pengusaha kantin sekolah berhubung kemelut yang mereka hadapi mutakhir ini.

Mereka mengatakan terpaksa menanggung kerugian akibat dampak SOP yang harus dipatuhi ketika beroperasi.

Sistem penggiliran sekolah menyebabkan kapasiti murid berkurangan 50%. Daripada jumlah tersebut kehadiran sebenar murid pula merosot dengan kehadiran tidak mencapai 60%. Bukan semua murid yang hadir membeli makanan di kantin.

Beban menjadi semakin runcing dengan SOP yang hanya membenarkan murid membuat pesanan makanan. Pengusaha kantin mendakwa mereka hanya memperoleh pesanan sekitar 10%-20% daripada jumlah murid yang hadir.

Mereka juga terpaksa mengeluarkan kos tambahan bagi membeli bekas makanan pakai buang dan memberikan gaji kepada pekerja tambahan bagi menghantar makanan ke kelas.

Selain itu, kos bahan mentah yang meningkat pada ketika ini membebankan lagi keperitan hidup mereka. Mereka tidak dibenarkan menaikkan harga makanan kerana tertakluk kepada perjanjian dibuat sebelum PKP tanpa mengambil kira kenaikan harga barang pada masa ini.

Menurut mereka, penetapan harga RM2.50 bagi pembekalan RMT kepada murid sekolah sudah tidak relevan. Mereka meminta agar kadar itu dikaji semula seiring dengan kenaikan harga barang basah.

KPM juga didakwa mengeluarkan pekeliling baharu kepada mereka untuk membekalkan susu kepada murid dalam program RMT. Peruntukan kotak susu yang dinyatakan ialah RM1.50 sekepala; sedangkan kos mereka RM1.20 sehingga RM1.50 sekotak di pasaran.

Justeru keuntungan daripada membekalkan susu ini amatlah tipis atau kadang-kadang mengalami kerugian sekiranya berlaku kerosakan.

Mereka berhubung dengan Dr Radzi Jidin bagi membantu mereka, namun seperti biasa aduan mereka tidak dipedulikan.

Saya ingin mengulangi gesaan saya di Dewan Rakyat ketika membahaskan belanjawan 2021, iaitu pemberian khas kepada pengusaha kantin sekolah dan bantuan khusu pekerja kantin di seluruh negara.

Geran khas ini akan membantu pengusaha yang terjejas untuk memulakan semula operasi apabila sekolah dibuka semula nanti. Manakala bantuan khusus akan membantu pekerja kantin yang terlibat kerana kebanyakannya tidak boleh memohon skim upah pekerja sedia ada.

Seramai 70,000 pekerja kantin seluruh negara dapat diselamatkan melalui bantuan khusus ini.

Saya juga menggesa kadar RMT perlu dinaikkan daripada RM2.50 kepada RM4 berdasarkan keadaan barang basah semasa semakin mahal.

Kalau kekalkan kadar lama, perkara ini akan menjejaskan kualiti makanan, atau menjejaskan pengusaha kantin. Maka dicadangkan dinaikkan kadar tersebut.

Saya juga konsisten menyeru agar sarapan pagi percuma dilaksanakan dengan penerima RMT perlu diperluaskan dengan bukan hanya terhad kepada pelajar dari keluarga B40 sahaja, tetapi kepada M40 yang memerlukan.

Akhirnya, saya menyeru KPM segera melakukan sesi libat urus dan berbincang dengan Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah dan mendengar tuntutan mereka demi mendapatkan penyelesaian yang tuntas untuk isu ini. – 6 Januari, 2022.

* Dr. Maszlee Malik ialah ahli Parlimen Simpang Renggam.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen