PRESIDEN Kazakhstan Kassym-Jomart Tokayevhari meminta bantuan pakatan tentera Pertubuhan Perjanjian Keselamatan Kolektif (CSTO) diketuai Russia bagi menangani pergolakan akibat bantahan kenaikan harga bahan api.
Tokayevhari mendakwa protes besar-besaran yang mengakibatkan negara itu dalam keadaan huru hara didalangi “pengganas” yang dilatih di luar negara.
Kazakhstan sejak sekian lama dilihat sebagai antara negara bekas Soviet di Asia Tengah paling stabil, dan kaya dengan sumber bahan api, kini berdepan krisis terbesarnya dalam beberapa dekad selepas penunjuk perasaan marah terhadap kenaikan harga bahan api menyerbu bangunan kerajaan.
Tokayev berkata beliau mendapatkan bantuan CSTO diketuai Russia, yang merangkumi lima negara bekas Soviet lain, untuk memerangi kumpulan pengganas yang mencetuskan tunjuk perasaan itu.
“Mereka merampas bangunan dan infrastruktur dan paling penting, merampas premis menjual senjata,” katanya dalam ucapan disiarkan di televisyen.
Beliau berkata kumpulan itu juga membawa lima pesawat di lapangan terbang di bandar terbesar negara itu, Almaty dan berkata tentera udara Kazakhstan terbabit dalam pertempuran berhampiran bandar itu.
Di Almaty, ratusan penunjuk perasaan, ada yang memakai topi keledar – berkumpul di pusat bandar dan mengarak kenderaan polis yang dibaluti bendera Kazakhstan.
Protes merebak ke seluruh negara yang mempunyai 19 juta penduduk kerana berang kenaikan harga gas petroleum cecair (LPG) sempena tahun baharu, di mana bahan itu digunakan secara meluas bagi kenderaan kereta di negara itu.
Ribuan penunjuk perasaan turun ke jalanan di Almati dan Mangystau, berkata kenaikan harga tidak adil kerana rizab tenaga Kazakhstan luas dan pengeksport minyak dan gas.
Lebih 200 individu ditahan, ribuan penunjuk perasaan turut menyerbu pejabat Datuk Bandar di Almaty sekali gus memaksa pasukan keselamatan melepaskan bom tangan dan gas pemedih mata ke arah orang ramai.
Beberapa penerbangan dari Moscow ke bandar-bandar di Kazakhstan dibatalkan atau ditangguhkan selepas laporan penunjuk perasaan merampas lapangan terbang Almaty.
Kerajaan negara itu turut mengumumkan perintah darurat diperluaskan ke seluruh negara dan berkuat kuasa sehingga 19 Januari, dengan mengenakan perintah berkurung semalaman, menyekat pergerakan dan melarang perhimpunan besar-besaran. – AFP, 6 Januari, 2022.
Komen