KERAJAAN Itali akan mewajibkan imunisasi Covid-19 bagi setiap individu berusia 50 tahun ke atas bermula 15 Februari, dalam usaha mengekang penularan wabak itu.
“Kami mahu memperlahankan keluk jangkitan dan menggalakkan rakyat Itali yang belum divaksin, berbuat demikian,” kata Perdana Menteri Mario Draghi pada mesyuarat Kabinet.
“Kami fokus kepada kumpulan umur yang paling berisiko untuk dimasukkan ke hospital, dan ini bagi mengurangkan tekanan kepada hospital.”
Peraturan itu mewajibkan individu berusia 50 tahun yang tidak bekerja untuk mendapatkan vaksin, dan bagi yang bekerja perlu mempunyai pas vaksin.
Dalam satu kenyataan lain, kerajaan berkata pas vaksin diperlukan untuk individu berusia 50 tahun ke atas dalam sektor awam dan swasta untuk akses ke tempat kerja bermula 15 Februari.
Menurut statistic terkini, 28 juta daripada 59 juta populasi Itali adalah individu 50 tahun ke atas.
Bulan lalu kerajaan berkata bermula 10 Januari, pas vaksin disyaratkan untuk menggunakan pengangkutan awam dan akses kepada hotel, restoran dan gymnasium.
Sebelum ini, pas kesihatan bukti vaksinasi atau ujian saringan terkini, disyarakat.
Seperti di kebanyakan negara Eropah barat, Itali mengalami lonjakan kes baharu sejak beberapa hari lalu, merekodkan 189,000 kes pada Rabu, berbanding 170,000 sehari sebelumnya.
Seramai 1.4 juta individu pada masa ini positif Covid-19 di negara itu. – AFP, 6 Januari, 2022.
Komen