Lembaga penasihat SPRM mengecewakan


INSTITUT Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) merasa sangat khuatir akan kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) Abu Zahar Ujang pada hari ini. 

Pada pandangan kami, kenyataan tersebut tidak sepenuhnya menangani kebimbangan masyarakat awam mengenai integriti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). 

Kenyataan yang diberikan oleh Abu Zahar Ujang ini merujuk kepada dakwaan terdahulu oleh Edmund Terence Gomez perihal integriti LPPR, khususnya dakwaan yang merisaukan tentang “hubungan antara perniagaan dan penguatkuasaan undang-undang” dan situasi “konflik kepentingan” antara Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki dan dakwaan pemilikan saham korporatnya.

Walaupun Ideas mengalu-alukan LPPR akhirnya memberikan respons kepada seruan awam untuk mengambil tindakan dengan mengadakan satu mesyuarat khas pada 24 November 2021, kami bimbang apabila keputusan untuk membebaskan Ketua Pesuruhjaya SPRM adalah berdasarkan kepada satu mesyuarat sahaja, tanpa penyiasatan menyeluruh. 

Pada pandangan kami, jika kesimpulan itu hanyalah berdasarkan penjelasan oleh Azam Baki, maka LPPR tidak menjalankan tugas dengan betul dan hal ini bukan satu tindakan contoh yang sepatutnya dilakukan oleh sebuah organisasi yang ditugaskan sebagai badan utama untuk mengawasi SPRM.

Kami juga menyesali kelewatan LPPR dalam mengumumkan keputusan mesyuarat tersebut kepada masyarakat awam sejurus selepas mesyuarat berlangsung. 

Jika LPPR mengadakan sidang media sejurus selepas mesyuarat khas tersebut berbanding menunggu lebih daripada sebulan, keluh kesah rakyat berkenaan hal ini akan dapat dielakkan.

Kami menyeru LPPR untuk memberikan penjelasan yang telus mengenai proses ke arah kesimpulan yang dinyatakan. Malah, amat penting untuk badan tersebut mendedahkan dasar atau tatakelakuan yang digunapakai dalam membersihkan nama Ketua Pesuruhjaya SPRM daripada mana-mana salah laku. 

Lebih penting lagi, LPPR perlu menjelaskan kepada masyarakat awam sama ada Azam telah memenuhi kriteria pengisytiharan harta berdasarkan kepada pekeliling kerajaan bertajuk “Surat Pekeliling Perkhidmatan 2 Tahun 2002 (Pemilikan dan Perisytiharan Harta oleh Pegawai Awam)” yang memerlukan penjawat awam mengisytiharkan harta mereka.

Seperti yang dihujahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Ideas, Tricia Yeoh, “kegagalan memberikan satu penjelasan menyeluruh tentang bagaimana keputusan tersebut dicapai dengan penuh ketelusan akan menghakis kepercayaan awam terhadap SPRM sebagai sebuah institusi penting dalam membasmi rasuah dalam negara ini. 

“Kami berpandangan penjelasan sebegitu amat kritikal dalam mengekalkan kredibiliti SPRM sebagai sebuah institusi bebas yang boleh membasmi rasuah dengan berkesan di Malaysia. Dalam hal ini, amat penting untuk Parlimen menilai dan membahas prestasi SPRM dari masa ke semasa. Malah, sudah tiba masanya pihak kerajaan memperkenalkan undang-undang dan peraturan konflik kepentingan yang jelas kepada semua penjawat awam mengenai pemilikan aset yang dibenarkan. Terdapat juga persoalan yang dibangkitkan tentang keabsahan pembelian saham yang harus dijawab.”

Ideas mengambil maklum LPPR dan empat lagi badan luaran diharapkan untuk beroperasi sebagai mekanisme semak dan imbang kepada SPRM. Badan-badan tersebut ialah Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah, Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah, Jawatankuasa Aduan, Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah, dan juga Panel Penilaian Operasi.

Ideas merasakan bahawa ini merupakan peluang kepada badan -badan tersebut untuk membuktikan mereka sedang melakukan sehabis terbaik dalam memberikan mekanisme semak dan imbang kepada SPRM.

Sebagai kesimpulan, Yeoh menyatakan, “sebagai sebuah institusi penting yang mendukung integriti dalam negara ini, amat penting agar SPRM menunjukkan piawaian tertinggi. Justeru, badan kawal selia yang mempunyai tugas memberikan kebertanggungjawaban terhadap SPRM harus menganggap diri mereka sebagai benteng kepada ketelusan. 

“Sedikit kelewatan dalam mengambil tindakan terhadap apa-apa aduan boleh mengubah pendapat umum. Ideas mengharapkan penyiasatan segera terhadap dakwaan konflik kepentingan ini akan dilakukan dengan penuh ketelusan serta hasil dapatannya kelak perlu didedahkan dengan telus kepada masyarakat awam.” – 5 Januari, 2022.

* Kenyataan media Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), sebuah badan pemikir bebas.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen