Hong Kong perketat kawal virus, larang penerbangan 8 negara


Sekatan itu menjadi tamparan ekonomi terbaharu buat hab perniagaan antarabangsa yang menjalankan strategi sifar-Covid yang telah mengekalkan kes rendah tetapi menyebabkan penduduk terputus dari dunia. – Gambar EPA, 5 Januari, 2022.

HONG KONG mengumumkan kawalan ketat mengekang koronavirus baharu pada Rabu dengan melarang penerbangan dari lapan negara, menutup bar dan gim serta membatalkan makan malam di restoran selepas varian Omicron dikesan.

Sekatan itu menjadi tamparan ekonomi terbaharu buat hab perniagaan antarabangsa yang menjalankan strategi sifar-Covid yang telah mengekalkan kes rendah tetapi menyebabkan penduduk terputus dari dunia.

Seperti tanah besar China, Hong Kong telah mengekalkan beberapa langkah paling keras di dunia sepanjang pandemik termasuk sempadan yang hampir ditutup, kuarantin berminggu-minggu, penguncian yang bersasar dan ujian besar-besaran.

Bandar tersebut telah merekodkan 114 kes Omicron setakat petang Selasa, dengan sebahagian besar dikenal pasti di lapangan terbang atau semasa kuarantin wajib bagi kebanyakan ketibaan.

Bagaimanapun pandemik dalam masyarakatnya dikesan kepada kakitangan syarikat penerbangan Cathay Pacific sejak beberapa hari kebelakangan ini yang telah mencetuskan pelaksanaan langkah baharu yang ketat.

Ketua eksekutif Carrie Lam berkata pegawai kesihatan kini bimbang varian Omicron yang menular secara senyap merebak dalam masyarakat.

“Kami ada kes yang sumbernya dikenal pasti tetapi bukan laluan penularannya,” katanya kepada pemberita.

Penerbangan dari Australia, Kanada, Perancis, India, Pakistan, Filipina, UK dan Amerika Syarikat akan dilarang bermula tengah malam Jumaat untuk dua minggu akan datang.

“Penerbangan penumpang dari negara-negara ini tidak akan dibenarkan mendarat di Hong Kong dan individu yang telah tinggal di negara tersebut tidak dibenarkan menaiki penerbangan ke Hong Kong, termasuk penerbangan transit,” kata Lam.

Semua acara awam berskala besar akan dibatalkan manakala lebih banyak jenis perniagaan, termasuk bar, kelab malam, gim dan salon kecantikan, perlu ditutup.

Makan di dalam restoran akan diharamkan selepas pukul 6.00 petang, tambah Lam, walaupun mereka boleh terus bungkus bawa pulang. – AFP, 5 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen