PRESIDEN Perancis Emmanuel Macron pada Rabu mendapat kecaman hebat selepas memberi amaran dengan bahasa kasar yang beliau akan susahkan hidup rakyatnya yang belum divaksin.
Pembangkang di Parlimen termasuk pesaing dalam pilihan raya presiden 2022 menuduh Macron melampaui batas dengan bahasa komennya.
Berikutan itu Parlimen tergendala dalam meluluskan undang-undang bertujuan mengetatkan peraturan Covid di Perancis.
“Bagi mereka yang tidak divaksin, saya benar-benar mahu susahkan mereka,” katanya kepada akhbar Le Parisien dalam satu temu bual, menggunakan bahasa Perancis “emmerder”, yang dianggap sebagai slanga kesat berasal daripada “merde” yang bermaksud “sial.”
“Dan kami akan terus melakukan ini. Ini adalah strateginya,” katanya.
Tambahnya ini bermakna “mengehadkan sebanyak mungkin akses mereka kepada aktiviti dalam kehidupan sosial”.
Komen Macron dibuat ketika kerajaan berusaha untuk meneruskan undang-undang Parlimen yang akan mewajibkan vaksinasi untuk menikmati aktiviti kebudayaan, menggunakan tren antara bandar atau melawat kafe mulai 15 Januari.
Bagaimanapun kerajaan tertekan apabila pembangkang bergabung tenaga pada Isnin untuk melawan kelulusan undang-undang melalui Parlimen. Selepas perbincangan antara kedua-dua pihak pada Selasa, perbahasan diteruskan.
Namun pertimbangan rang undang-undang itu digantung semula awal Rabu berikutan kenyataan Macron, dengan presiden sesi itu Marc Le Fur berkata suasana di dalam dewan tidak dapat memenuhi “syarat untuk persekitaran kerja yang tenang”.
Ketua Parti Republikan (LR) berhaluan kanan di Dewan Rakyat, Damien Abad, membidas kenyataan “tidak layak, tidak bertanggungjawab dan terancang”, manakala Presiden Republikan Christian Jacob berkata pihaknya itu “enggan untuk menyokong teks yang bertujuan untuk menggugat Perancis”.

Rakyat kelas kedua
Presiden Perancis itu berkata dalam komennya: “Saya tidak akan meletakkan mereka (yang tidak divaksinasi) ke dalam penjara, saya tidak akan paksa suntik vaksin kepada mereka.
“Jadi, kita perlu beritahu mereka: mulai 15 Januari, anda tidak lagi boleh pergi ke restoran. Anda tidak lagi boleh pergi ke cafe, anda tidak lagi boleh pergi ke teater. Anda tidak akan dapat pergi ke pawagam lagi,” katanya.
Kontroversi itu tercetus di tengah-tengah suasana prapilihan raya yang semakin memuncak di Perancis. Macron berkata dalam temu bual yang beliau mahu bertanding untuk penggal kedua dalam pilihan raya presiden April tetapi hanya akan mengisytiharkan hasratnya sebaik sahaja betul-betul pasti.
Saingan Macron menuduh presiden, yang pada fasa awal masanya di pejabat memperoleh reputasi kerana komen yang kadangkala tidak bijak, bertindak terlalu jauh dengan bahasa amarannya.
“Seorang presiden tidak sepatutnya berkata begitu,” kata calon sayap kanan Marine Le Pen, menuduh Macron mahu menjadikan beberapa “warganegara kelas kedua” Perancis.
Pakar haluan kanan Eric Zemmour, yang juga berdiri, membuat ciapan ti Twitter berkata “sebagai presiden saya akan berhenti mengganggu Perancis”. Calon haluan kiri Jean-Luc Melenchon mengutuk komen Macron sebagai “mengerikan”.
Macron, yang mengambil alih tampuk pemerintahan pada 2017 atas ikrar untuk memperbaharui Perancis dan memulihkan statusnya sebagai kuasa global, menjadi pilihan utama untuk memenangi pilihan raya namun penganalisis mengingatkan kemenangannya masih jauh dari pasti. – AFP, 5 Januari, 2022.
Komen