TENGKU Adnan Tengku Mansor menafikan kenyataannya yang mengatakan gereja digunakan untuk menyebarkan fitnah terhadap kerajaan dan kenyataannya disalahertikan.
Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata, beliau hanya menasihatkan gereja untuk membataskan aktiviti mereka kepada agama dan mengelakkan daripada menyebarkan fitnah, yang akan menimbulkan ketidakpuasan hati terhadap kerajaan.
“Saya hanya mengingatkan semua rumah ibadat untuk menjalankan aktiviti keagamaan mereka dan tidak menjadi tempat berita palsu disebar, yang akan menimbulkan ketidakpuasan hati terhadap kerajaan.
“Apa sahaja berita yang disampaikan pada khutbah di rumah ibadat berhubung isu semasa perlu disahkan untuk mengelakkan ia menjadi fitnah,” kata Tengku Adnan dalam satu kenyataan.
Katanya, beliau sendiri turut berjuang untuk memperuntukkan tanah bagi pembinaan gereja, dan hanya menyebut gereja sebagai rujukan kepada semua rumah ibadat.
Kenyataan menteri itu dibuat pada satu majlis masyarakat sempena Hari Wilayah Persekutuan di Titiwangsa, Kuala Lumpur, hari ini.
“Tuan-tuan baca di internet dan apa sahaja yang ditemui, dan tuan-tuan cerita di gereja.
“Kerana bila tuan-tuan pergi ke mana-mana, bila tuan-tuan bagi khutbah dan mengajar pada Ahad, ada banyak perkara yang disebut yang kadang kala tidak benar.
“Tolong guna gereja sebagai tempat untuk tuan-tuan sebarkan ajaran Tuhan, bukan untuk sebarkan ajaran sendiri atau perkara yang tuan-tuan tak suka,” katanya.
Kenyataan Tengku Adnan itu bagaimanapun diselar oleh pemimpin gereja, yang mengatakan kenyataan itu menyinggung dan tidak berasas.
Mereka berkata pernyataan itu menimbulkan persoalan integriti rohani gereja untuk menyebarkan kepercayaan, dan pemberitaan mengenai isu-isu sosial adalah tugas keagamaan.– 3 Februari, 2018.
Komen