KEDUDUKAN strategik Malaysia di rantau Asia Tenggara dan bersempadan dengan kawasan “Segitiga Emas” sering dieksploitasi sindiket antarabangsa untuk penyeludupan dan pengedaran dadah, kata Timbalan Ketua Polis Negara Razarudin Husain.
Beliau yang pernah menerajui Jabatan Narkotik Bukit Aman itu berkata kedudukan strategik Malaysia ini menjadikan negara ini sesuai dijadikan lokasi transit pengedaran dadah.
“Malaysia sesuai dijadikan lokasi transit pengedaran dadah sebelum dihantar ke negara ketiga kerana agak strategik dalam rantau Asia Tenggara dan bersempadan dengan kawasan ‘Segitiga Emas’,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Menurut Razarudin perairan Laut China Selatan dan Selat Melaka yang dalam arus yang tenang dan tiada ancaman lanun menjadi faktor pendorong kepada kegiatan jenayah rentas sempadan untuk berleluasa.
“Negara kita juga terletak berhampiran dengan beberapa negara pengeluar dadah seperti Myanmar, Laos dan Thailand yang dikenali sebagai Segitiga Emas.
“Dadah biasanya diseludup dari Segitiga Emas terutamanya daripada Wilayah Shan di Myanmar yang merupakan antara pengeluar dadah jenis syabu terbesar untuk pasaran dunia sebelum memasuki Malaysia melalui jalan laut atau darat,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai trend penyeludupan dadah yang digunakan oleh sindiket, Razarudin berkata dua laluan digunakan sindiket iaitu jalan laut dan darat bermula dari Segitiga Emas dan berakhir di seluruh pelosok Malaysia.
“Yang pertama, jika menggunakan jalan laut, perjalanan akan bermula dari wilayah Satun, Thailand menuju ke Pulau Langkawi, Kedah seterusnya belayar merentasi Pulau Kendi dan Teluk Kumbar sebelum masuk ke Sungai Jawi atau Kuala Juru, Pulau Pinang.
“Majoriti sumber dadah ke Sabah dan Sarawak akan melalui jalan laut dan udara dari Semenanjung Malaysia,” katanya.
Menurutnya, jalan kedua adalah melalui darat yang bermula dari wilayah Narathiwat, Thailand melalui Tak Bai dan Golok menggunakan Sungai Golok ke Tumpat serta Rantau Panjang.
“Laluan darat ini mudah berikutan Malaysia dan Thailand hanya dipisahkan dengan Sungai Golok yang panjangnya 99 kilometer dan lebarnya 15 meter serta sungainya yang agak cetek dan disebabkan itu wujud 92 pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok – Kelantan.
“Faktor sungai yang sempit serta mempunyai kelebaran hanya beberapa meter sahaja membolehkan sindiket menyeludup masuk dadah secara mudah ke dalam Malaysia,” katanya.
Sepanjang awal tahun hingga November 2021, polis merampas sebanyak 27,050.07 kilogram pelbagai jenis dadah dan daripada jumlah itu, sebanyak 7,919.75 kg adalah syabu.
Rampasan Ephedrine iaitu bahan kimia membuat dadah jenis syabu adalah sebanyak 8,734.5 kg diikuti ganja sebanyak 3,232.08 kg, heroin (2,140.52 kg), erimin 5 (2,028.45 kg), pil captogon (650 kg), ketamin (465.11 kg), pil yaba (343.80 kg) dan pil ekstasi (259.71 kg) dan kafein (283.41 kg). – 5 Januari, 2022.
Komen