Sukarelawan gesa agih bantuan terus kepada mangsa banjir bagi elak birokrasi


Sukarelawan gensi bukan kerajaan (NGO) membantu memberikan bantuan keperluan kepada mangsa terjejas banjir di Hulu Langat, Selangor. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Januari, 2022.

SUKARELAWAN bantuan banjir yang bekerja di lapangan tidak memberi sumbangan di pusat pengumpulan bantuan kerajaan dan memberi bantuan terus kepada mereka yang terjejas bagi mengelak birokrasi.

Mereka berkata kaedah pergi dari rumah ke rumah adalah cara terpantas dan paling berkesan.

Amira Aisya Abd Aziz yang juga Setiausaha Agung Muda berkata mangsa banjir memberitahu sukarelawan parti bantuan lewat sampai kepada mereka.

“Di lapangan kami tidak pergi ke pusat kerajaan. Kami tidak tahu sama ada barang itu disimpan, tetapi daripada pergi dari rumah ke rumah kami menerima maklum balas mereka (mangsa) tidak menerima bantuan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Mangsa yang tinggal di kawasan banjir turut berkongsi sebelum ini bantuan kerajaan mengambil masa sehingga enam bulan untuk sampai kepada mereka.

“Di tempat lain yang terdedah kepada banjir, mereka (mangsa) berkata dari pengalaman sebelum ini ia mengambil masa sekurang-kurangnya enam bulan untuk bantuan sampai kepada mereka dan ketika itu sudah terlambat,” tambah Amira.

Ini adalah antara sebab utama Muda yang mengumpul sumbangan lebih RM2 juta dan mengumpulkan lebih ribuan sukarelawan untuk program bantuan banjir memilih untuk berurusan secara langsung dengan mereka yang terjejas akibat banjir baru-baru ini pada 18 dan 19 Disember lalu.

“Kami memberi bantuan terus kepada mangsa supaya mereka mendapat secepat mungkin bantuan bagi mereka memulakan semula kehidupan.

“Kami tidak pasti sama ada bantuan kerajaan sampai kepada mereka tetapi dengan birokrasi, ia akan mengambil masa,” katanya.

Segar, seorang sukarelawan dari Kuala Lumpur pergi ke Mentakab, Pahang setiap hari.

Beliau mendakwa barangan yang disumbangkan kepada pusat pemindahan kerajaan diletakkan di dalam gudang dan bukannya disalurkan kepada mangsa.

“Tidak mungkin kami akan memberikan barangan itu kepada pusat pengumpulan. Sebelum ini kami beri barang sumbangan ke gudang kerajaan tapi apabila diperiksa, gudang itu penuh dengan barang-barang terutama makanan yang sudah rosak kerana sudah berhari-hari diletakkan di situ.

“Apabila kami bertanya mengapa barangan itu tidak diedarkan kami diberitahu mereka menunggu VIP untuk membuat majlis penyerahan.

“Orang ramai menderita dan inilah yang mereka lakukan. Saya tidak tahu apa yang mereka lakukan,” katanya.

Terdapat juga aduan kotak bantuan yang disediakan oleh kerajaan tidak mengandungi keperluan yang mencukupi.

“Kotak besar tetapi barangnya sedikit,” katanya.

Segar berkata kotak itu hanya mengandungi tiga paket mi segera, beberapa roti dan dua tin susu.

Dia tidak bergabung dengan mana-mana kumpulan masyarakat sivil tetapi mengumpulkan dana dengan rakan-rakan untuk membeli dan menghantar barangan seperti pakaian, barangan kebersihan, tilam dan selimut dalam lori yang boleh dipinjamnya.

Yap Chun Wei, 19, yang membantu mangsa banjir di Shah Alam berkata walaupun terdapat bantuan daripada kerajaan namun ia tidak sampai kepada ramai mangsa.

“Ada yang terlepas dari mendapat barangan itu kerana sibuk membersihkan rumah dan melakukan kerja pembaikan. Kami juga berdepan masalah dengan individu yang mengambil lebih daripada yang sepatutnya. Tetapi tiada apa yang boleh kami lakukan untuk menghalang mereka,” katanya.

Di Sri Muda, Shah Alam di mana ribuan penduduk terjejas, apa-apa bantuan yang diberikan juga tidak mencukupi untuk disalurkan kepada semua.

“Kami mempunyai banyak barangan di sini tetapi ia masih tidak mencukupi. Terdapat ramai penduduk di Sri Muda.

“Apa yang kami berikan adalah sangat sedikit kepada mereka. Barangan itu boleh habis dalam masa sehari, malah mungkin kurang,” katanya.

Banjir pada 18 Disember lalu menyebabkan beberapa kawasan dan negeri termasuk Lembah Klang, Pahang, Kelantan, Melaka dan Negeri Sembilan terjejas.

Beribu-ribu penduduk terpaksa menyelamatkan diri duduk di bumbung rumah semalaman sementara menunggu anggota penyelamat sampai manakala ribuan lagi berada di pusat pemindahan banjir.

Pada minggu lalu, hujan lebat turut menyebabkan banjir di beberapa kawasan.

Sehingga kini seramai 125,490 penduduk terjejas akibat banjir di seluruh negara di mana 117,700 sudah pulang ke rumah masing-masing. – 5 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen