Kadar pengangguran di Sepanyol menurun pada 2021


Jumlah rakyat Sepanyol yang berdaftar sebagai tidak bekerja menurun sebanyak 782,232 tahun lepas berbanding 2020 menjadi 3.1 juta pada akhir Disember, kata kementerian buruh. – Gambar EPA, 4 Januari, 2022.

JUMLAH penganggur berdaftar di Sepanyol mencatatkan rekod menurun pada 2021 berikutan kelonggaran sekatan pandemik yang memacu kembali sektor pelancongan utamanya, menurut statistik rasmi pada Selasa.

Jumlah rakyat yang berdaftar sebagai tidak bekerja menurun sebanyak 782,232 tahun lepas berbanding 2020 menjadi 3.1 juta pada akhir Disember, kata kementerian buruh.

Ia adalah penurunan terbesar sejak siri statistik semasa bermula pada 1996 dan jumlah pengangguran terendah pada Disember sejak 2007, tambahnya.

Bilangan penganggur berdaftar turun sebanyak 2.4 peratus, atau 76,782 orang, pada Disember dari November - bulan ke-10 berturut-turut penurunan angka penganggur.

“Tarikh itu sekali lagi mencerminkan kemajuan pemulihan Sepanyol,” kata Perdana Menteri Sosialis Pedro Sanchez dalam satu ciapan di Twitter.

Ekonomi Sepanyol yang bergantung kepada pelancongan menguncup sebanyak 10.8 peratus pada 2020, salah satu yang terburuk dalam kalangan negara perindustrian.

Bagaimanapun ekonomi keempat terbesar zon Eropah itu kembali kepada pertumbuhan pada suku kedua tahun ini apabila pelancongan global meningkat.

Sebelum pandemik melanda pada 2020, Sepanyol merupakan destinasi pelancongan kedua paling popular di dunia selepas Perancis, dan sektor itu menyumbang sekitar 12 peratus ekonomi.

Sepanyol mengalu-alukan 28.2 juta pelancong asing dalam tempoh 11 bulan pertama tahun ini, 9.9 juta lebih berbanding tahun sebelumnya, kata institut perangkaan negara INE Selasa.

Kerajaan Sepanyol berharap dapat menarik kira-kira 45 juta pelancong pada 2021, kira-kira separuh daripada angka untuk 2019 sebelum wabak itu melanda. – AFP, 4 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen