PARLIMEN Itali dan wakil wilayah akan mula mengundi ketua negara baharu pada 24 Januari, kata pegawai pada Selasa, dengan Perdana Menteri Mario Draghi menjadi pilihan presiden seterusnya.
Peranan ketua negara Itali sebahagian besarnya adalah bersifat upacara kecuali semasa krisis politik, apabila presiden memainkan peranan timbang tara yang penting.
Speaker Dewan Perwakilan Roberto Fico mengadakan sesi pada Isnin, 24 Januari pukul 1400 GMT “untuk pemilihan presiden Republik”, kata kenyataan dari dewan Parlimen rendah.
Presiden Sergio Mattarella, bekas hakim berusia 80 tahun, akan menamatkan tempoh tujuh tahunnya pada 3 Februari.
Belum ada calon rasmi untuk menggantikannya setakat ini, tetapi Draghi, bekas ketua Bank Pusat Eropah secara meluas dianggap sebagai pilihan.
Draghi, 74, belum mengesahkan minatnya namun pada sidang media bulan lepas memberi gambaran untuk berpindah ke istana presiden Quirinale.
Bekas perdana menteri dan hartawan media Silvio Berlusconi juga telah menyuarakan sokongan untuk mencalonkan dirinya sendiri, walaupun berdepan tentangan hebat.
Pemenang dipilih melalui undi rahsia oleh kira-kira 1,000 pemilih terdiri daripada senator, ahli Dewan Perwakilan dan wakil 20 wilayah Itali.
Mereka perlu memperoleh sekurang-kurangnya dua pertiga undi dalam tiga pusingan pertama, atau lebih separuh selepas itu.
Calon lain termasuk bekas speaker dewan rendah Pier Ferdinando Casini, pesuruhjaya Kesatuan Eropah dan bekas perdana menteri Paolo Gentiloni, bekas perdana menteri Sosialis Giuliano Amato, dan Menteri Kehakiman Marta Cartabia yang jika berjaya akan menjadi ketua negara wanita pertama Itali. – AFP, 4 Januari, 2022.
Komen