Pasukan keselamatan Sudan bersedia awal hadapi protes


Aktivis prodemokrasi telah meningkatkan bantahan terhadap rampasan kuasa tentera 25 Oktober yang diketuai oleh jeneral tertinggi Abdel Fattah al-Burhan, yang menangkap perdana menteri ketika itu Abdalla Hamdok dan menteri kabinet. – Gambar EPA, 4 Januari, 2022.

PASUKAN keselamatan Sudan telah dikerahkan di sekitar Khartoum dan bandar-bandar berdekatan menjelang protes antirampasan kuasa yang dirancang, beberapa hari selepas peletakan jawatan perdana menteri awam negara itu, kata saksi pada Selasa.

Jalan-jalan menuju ke ibu pejabat tentera di Khartoum ditutup di tengah-tengah kehadiran ramai polis rusuhan, pasukan separa tentera dan anggota tentera, kata saksi.

Aktivis prodemokrasi telah meningkatkan bantahan terhadap rampasan kuasa tentera 25 Oktober yang diketuai oleh jeneral tertinggi Abdel Fattah al-Burhan, yang menangkap perdana menteri ketika itu Abdalla Hamdok dan menteri kabinet.

Rampasan kuasa itu telah mencetuskan demonstrasi besar-besaran dan tindakan keras yang setakat ini menyebabkan sekurang-kurangnya 57 maut dan ratusan cedera. Sekurang-kurangnya 13 wanita telah dirogol semasa rusuhan itu.

Pada 21 November, Burhan mengembalikan semula Hamdok dalam perjanjian yang menjanjikan pilihan raya pada pertengahan 2023. Gerakan protes menyelar perjanjian itu sebagai “pengkhianatan” dan telah mengekalkan tekanan dijalanan.

Pasa Ahad, Hamdok mengumumkan pengundurannya, berkata beliau telah cuba menghalang negara itu “daripada tergelincir ke arah bencana” tetapi kini berada di “persimpangan berbahaya yang mengancam kelangsungannya”.

Aktivis prodemokrasi menggesa penunjuk perasaan turun ke jalan raya pada Selasa dan menuju ke istana presiden di Khartoum “sehingga kemenangan dicapai”. – AFP, 4 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen